𝐁𝐞𝐧𝐠𝐤𝐞𝐥 𝐁𝐚𝐜𝐚𝐚𝐧 𝐏𝐚𝐧𝐭𝐚𝐬 𝐏𝐞𝐫𝐤𝐚𝐬𝐚 𝐊𝐞𝐜𝐞𝐤𝐚𝐩𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐦𝐛𝐚𝐜𝐚 𝐖𝐚𝐫𝐠𝐚 𝐈𝐏𝐃 𝐉𝐚𝐬𝐢𝐧

Jasin, Melaka, 12 Jun 2025 – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin dengan kerjasama Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Jasin dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, telah berjaya menganjurkan Bengkel Bacaan Pantas.

Program ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan membaca serta keupayaan pemprosesan maklumat dalam kalangan warga IPD Jasin. Seramai 50 orang peserta, terdiri daripada pegawai kanan, pegawai rendah polis, pegawai awam, dan ahli PERKEP Jasin, telah mengambil bahagian.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Polis Daerah Jasin, Supt Mohamad Rusli bin Hj Mat. Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan kemahiran membaca pantas dan berkesan bagi anggota polis,

“𝑆𝑒𝑏𝑎𝑔𝑎𝑖 𝑎𝑛𝑔𝑔𝑜𝑡𝑎 𝑝𝑜𝑙𝑖𝑠, 𝑘𝑖𝑡𝑎 𝑠𝑒𝑛𝑡𝑖𝑎𝑠𝑎 𝑏𝑒𝑟ℎ𝑎𝑑𝑎𝑝𝑎𝑛 𝑑𝑒𝑛𝑔𝑎𝑛 𝑝𝑒𝑙𝑏𝑎𝑔𝑎𝑖 𝑚𝑎𝑘𝑙𝑢𝑚𝑎𝑡 𝑠𝑒𝑝𝑒𝑟𝑡𝑖 𝑙𝑎𝑝𝑜𝑟𝑎𝑛, 𝑎𝑟𝑎ℎ𝑎𝑛, 𝑘𝑒𝑟𝑡𝑎𝑠 𝑠𝑖𝑎𝑠𝑎𝑡𝑎𝑛 𝑑𝑎𝑛 𝑝𝑒𝑙𝑏𝑎𝑔𝑎𝑖 𝑑𝑜𝑘𝑢𝑚𝑒𝑛 𝑦𝑎𝑛𝑔 𝑚𝑒𝑚𝑒𝑟𝑙𝑢𝑘𝑎𝑛 𝑘𝑖𝑡𝑎 𝑚𝑒𝑚𝑏𝑎𝑐𝑎, 𝑚𝑒𝑚𝑎ℎ𝑎𝑚𝑖 𝑑𝑎𝑛 𝑏𝑒𝑟𝑡𝑖𝑛𝑑𝑎𝑘 𝑑𝑒𝑛𝑔𝑎𝑛 𝑡𝑒𝑝𝑎𝑡 𝑑𝑎𝑛 𝑐𝑒𝑝𝑎𝑡. 𝑂𝑙𝑒ℎ 𝑖𝑡𝑢, ‘𝑠𝑝𝑒𝑒𝑑 𝑟𝑒𝑎𝑑𝑖𝑛𝑔’ 𝑏𝑢𝑘𝑎𝑛 𝑠𝑒𝑘𝑎𝑑𝑎𝑟 𝑠𝑎𝑡𝑢 𝑘𝑒𝑚𝑎ℎ𝑖𝑟𝑎𝑛 𝑡𝑎𝑚𝑏𝑎ℎ𝑎𝑛 𝑡𝑒𝑡𝑎𝑝𝑖 𝑠𝑎𝑡𝑢 𝑘𝑒𝑝𝑒𝑟𝑙𝑢𝑎𝑛 𝑠𝑡𝑟𝑎𝑡𝑒𝑔𝑖𝑘 𝑑𝑎𝑙𝑎𝑚 𝑝𝑟𝑜𝑓𝑒𝑠𝑖𝑜𝑛 𝑘𝑖𝑡𝑎.”

Beliau turut menegaskan bahawa program ini selari dengan aspirasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membentuk anggota yang cemerlang di lapangan.

Bengkel ini dikendalikan oleh penceramah utama, Dr. Nurul Aida Noor Azizi, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR, UiTM Shah Alam, yang menyampaikan teknik membaca pantas dan berkesan yang relevan untuk tugasan harian anggota keselamatan. Sesi bimbingan turut diperkukuh dengan kehadiran fasilitator berpengalaman dari PTAR, termasuk Cik Ummi Halimatunssaadiyya Shamsul Yuzli, Puan Siti Haidah Md Aziz, dan Puan Maznah Maarof.

Turut hadir memberikan sokongan ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Nor Azlinda binti Hj Nordin, serta wakil dari Institute for Medical Research (IMR), Kementerian Kesihatan Malaysia. En. Mohd Ismail bin Abidin, Timbalan Ketua Pustakawan PTAR, UiTM Shah Alam, turut memainkan peranan penting sebagai pegawai penghubung utama.

Penganjuran program ini mendapat sokongan penuh daripada Pengurusan Tertinggi Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM, yang diketuai oleh Tn Ts. Hj. Azizi Hj. Jantan, Ketua Pustakawan. Sokongan ini mencerminkan komitmen PTAR dalam memperluas inisiatif literasi maklumat kepada pelbagai segmen masyarakat.

Program ini bukan sahaja memperkasakan pembangunan kapasiti individu, malah memperkukuh jaringan kerjasama strategik antara institusi kepolisan dan pendidikan tinggi dalam membina budaya membaca dan literasi maklumat yang kukuh.

Mohd Alfarabie PTAR Shah Alam

Leave a Reply