Dari Komuniti untuk Komuniti – SHINE Bersinar

Pada 23 Mei 2025, satu program kemasyarakatan yang bertemakan kelestarian alam sekitar telah berjaya dilaksanakan melalui Sinar Harapan Initiatives for Narrative Empowerment (SHINE) 2025. Program ini merupakan inisiatif anjuran Kelab Penyayang UiTM Cawangan Pulau Pinang, Unit Residensi & Hospitality Pelajar (URHP), dan Akademi Pengajian Bahasa (APB) UiTM Cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama erat Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Sekolah Sinar Harapan, dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Program yang berlangsung di PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang, Kampus Permatang Pauh ini telah menghimpunkan peserta yang terdiri daripada pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang, pelajar-pelajar Sekolah Sinar Harapan, wakil dari MBSP dan warga staf PTAR serta URHP. Program ini turut dihadiri oleh Prof. Madya Dr. Kay Dora Abd Ghani, Timbalan Rektor Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni serta Encik Noor Azli b. Affendy Lee, selaku wakil pengelola program.

Antara aktiviti yang dijalankan pada hari itu termasuk Larian Amal dan Bengkel Kitar Semula bersama warga OKU dari Sekolah Sinar Harapan. Usai aktiviti larian, satu sesi perkongsian kitar semula oleh Unit Eko Komuniti MBSP telah diadakan untuk memberikan kesedaran mengenai pengurusan sisa lestari serta demonstrasi cara-cara pengasingan sampah yang betul. Ini diikuti dengan aktiviti pengasingan sampah bersama warga OKU Sekolah Sinar Harapan.

Program diteruskan dengan dengan aktiviti membuat kraf tangan oleh pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang daripada bahan terbuang. Para pelajar telah diberi tunjuk ajar oleh warga Pertubuhan Penduduk Kepala Gajah, Simpang Ampat. Bengkel menghasilkan produk kitar semula ini dapat memberikan pengalaman langsung kepada peserta menghasilkan barangan berguna daripada bahan terpakai.

Selain aktiviti tersebut, terdapat juga jualan produk kreatif seperti kraftangan, hiasan rumah dan hadiah eksklusif yang dihasilkan oleh pelajar Sekolah Sinar Harapan. Pihak MBSP juga mengadakan pameran produk Upcycling yang menampilkan kreativiti dalam penggunaan semula barangan terbuang kepada produk yang boleh diguna semula.

Di harap program seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran sivik dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa dan komuniti tentang budaya kitar semula dan pengurusan sisa lestari dalam kehidupan seharian. Selain itu, program ini dapat memberi ruang kepada warga OKU untuk menonjolkan bakat dan kreativiti dalam bidang kitar semula dan kraftangan serta mewujudkan kerjasama strategik antara institusi pendidikan dan pihak berkuasa tempatan untuk pembangunan komuniti.

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply