Program Kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) Bersama SMK Khir Johari (Bengkel Literasi Maklumat)

Merbok, 18 Mei 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) UiTM Cawangan Kedah telah berjaya melaksanakan Program Kerjasama Pembudayaan Ilmu : Literasi Maklumat Bersama Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Petani, Kedah. Program ini merupakan salah satu usaha merealisasikan Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025 iaitu Key Performance Index (KPI) 5 – Bilangan Penyertaan Program Budaya Ilmu dan Performance Index (PI) 8 – Bilangan Penyertaan Komuniti Program Kolaborasi Perpustakaan dan juga Performance Index Universiti – Number of Reading and Literacy Initiatives Conducted / Coordinated / by PTAR UiTM. Program ini memberikan impak positif kepada pihak Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari dalam perkongsian ilmu pengetahuan baharu yang boleh dimafaatkan dalam pembelajaran pelajar di sekolah.

Objektif program perpindahan ilmu ini dilaksanakan adalah seperti memberi pendedahan tentang kaedah pencarian maklumat atas talian bagi bahan-bahan ilmiah mengembangkan ilmu pengetahuan mengenai kepentingan literasi maklumat dan memudahkan pencarian dan dapatan maklumat yang tepat dan menjimatkan masa.

Program  ini telah dilaksanakan dengan jayanya pada 18 Mei 2025, Ahad dari jam 9.00 pagi  hingga 10.30 pagi bertempat di Dewan Kejosa, Sekolah Menengah Khir Johari, Sungai Pertani, Kedah. Bengkel ini telah dikendalikan oleh Encik Omar Zainol, Pembantu Pustakawan Kanan, Unit Perkhidmatan Perpustakaan sebagai penceramah dan dibantu oleh Puan Wan Rohani Wan Chin (Pustakawan Kanan), 3 orang Pembantu Pustakawan Kanan iaitu Puan Mazuriah Ahmad, Puan Norismaliza Che Oon, Encik Zakaria serta Encik Abdul Muiz Fathin Bin Ahmad Fadzil (Pelajar Latihan Praktikal).  Seramai 226 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tingkatan 6 Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari telah menyertai program ini.

Program ini memberikan pendedahan kepada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah dan guru-guru mengenai kepentingan literasi maklumat dan kaedah-kaedah pencarian maklumat secara digital yang boleh digunakan dalam pencarian bahan-bahan ilmiah bagi menyokong pengajaran dan pembelajaran.

Penulis : Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply