Forum AI Dalam Pengurusan Perkhidmatan Maklumat Jayakan Kolaborasi DBP dan Perpustakaan Sultan Badlishah

Merbok, 30 April 2025 – Forum Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pengurusan Perkhidmatan Maklumat telah berjaya dilaksanakan hasil kerjasama antara Perpustakaan Sultan Badlishah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari telah merasmikan forum ini dan program ini berlangsung secara bersemuka dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari dan turut disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi DBP.

Forum ini bertujuan memberi pendedahan kepada pustakawan dan pelajar dalam bidang pengurusan maklumat mengenai peranan dan potensi teknologi AI dalam memacu inovasi serta meningkatkan daya saing perkhidmatan perpustakaan. Ia turut menyasarkan peningkatan kompetensi kakitangan perpustakaan dalam penyampaian perkhidmatan digital.

Antara panel jemputan yang hadir ialah:

  • Dr. Ranita Hashim Shunmugam (UM) – membincangkan peranan perpustakaan sebagai pusat inovasi;
  • Dr. Siti Khadijah Rafie (UiTM Kedah) – membentangkan kajian berkaitan AI sebagai inovasi masa depan;
  • Mohamad Shaufi Kambaruddin (Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah) – mengupas isu, cabaran dan etika penggunaan AI.
  • Forum ini dimoderatorkan oleh Prof Madya Ts. Dr. Abd Latif Abdul Rahman dari UiTM Kedah.

Sesi soal jawab

Seramai 1,014 peserta daripada pelbagai latar belakang seperti pelajar, pustakawan, staf akademik dan komuniti hadir dalam forum ini. Program telah mencapai objektif penganjuran serta memberi impak positif terhadap kesedaran dan pemahaman peserta mengenai integrasi AI dalam pengurusan maklumat.

Penulis : Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply