Lawatan SMK Tat Beng, Trong, Perak ke PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh

Pada 14 April 2025, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang (UiTMCPP) telah menerima kunjungan 40 orang pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5 bersama 5 orang guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tat Beng, Trong, Perak.

Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pelajar mengenai peranan perpustakaan akademik dalam menyokong proses pembelajaran dan penyelidikan di institusi pengajian tinggi. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memperkenalkan pelajar kepada kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan oleh PTAR UiTMCPP.​ Setibanya di PTAR UiTMCPP, rombongan sekolah disambut mesra oleh staf perpustakaan bersama Tuan Haji Ahmad Faizar Jaafar, Timbalan Ketua Pustakawan, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang.

Selepas sesi bergambar, para pelajar telah dibawa melawat sekitar perpustakaan oleh Encik Mohd Saiful Effendy Mohd Shukeri dan Encik Syarifulanuar Mat Isa, Pembantu Pustakawan Kanan PTAR UiTMCPP. Mereka turut diberikan penerangan ringkas tentang perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan, termasuk koleksi bahan rujukan, ruang pembelajaran, dan kemudahan teknologi maklumat di perpustakaan.

Lawatan ini diharap dapat memberi inspirasi kepada para pelajar SMK Tat Beng untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi serta meningkatkan minat mereka terhadap penggunaan perpustakaan sebagai pusat ilmu. Pihak PTAR UiTMCPP amat berbesar hati menerima kunjungan ini dan berharap dapat terus menjalinkan hubungan baik dengan sekolah-sekolah dalam usaha memupuk budaya ilmu dalam kalangan pelajar.​

Rafidah Muhamad Sam PTAR Penang

Leave a Reply