Pada 20 Mac 2025 (Khamis), Fakulti Perakaunan dengan kerjasama Persatuan Wanita (PEWANI) UiTM dan Perpustakaan Tengku Anis UiTM Cawangan Kelantan telah menganjurkan Program Budaya Ilmu: “Persediaan Taksiran Cukai 2025: Fahami e-Invois, Kesan dan Manfaatnya” secara siaran langsung melalui saluran YouTube Perpustakaan Tengku Anis selama 2 jam.
Cukai pendapatan merupakan aspek penting dalam kewangan individu dan perniagaan di Malaysia. Namun, masih ramai pembayar cukai yang menghadapi kesukaran dalam mengisi e-Filing, tidak memahami pelepasan yang boleh dituntut, atau terlepas tarikh akhir sehingga dikenakan penalti. Oleh itu, sesi bual bicara ini dianjurkan untuk memberi pencerahan dan panduan kepada pembayar cukai agar mereka dapat mengurus cukai dengan lebih bijak dan mengelakkan sebarang kesilapan yang boleh membawa kepada penalti.
Sesi bual bicara ini dianjurkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap e-Filing cukai pendapatan. Melalui program ini, peserta akan diberikan penerangan secara langsung oleh seorang panel jemputan yang pakar dalam bidang percukaian. Selain itu, dengan platform digital seperti YouTube Live, sesi ini dapat diakses oleh lebih ramai peserta dari pelbagai latar belakang, termasuk pekerja, usahawan, dan individu yang pertama kali mengisi e-Filing. Pendekatan ini membolehkan lebih ramai orang mendapat manfaat dan bertanya soalan secara langsung kepada panel.
Program bual bicara ini diadakan bagi mencapai objektif berikut:
- Memberikan pendedahan kepada peserta tentang kepentingan pengisian e-Filing
yang betul. - Membantu peserta memahami pelepasan dan rebat cukai yang boleh dimanfaatkan.
- Menyediakan platform interaktif untuk pembayar cukai mendapatkan jawapan kepada persoalan mereka.
Program ini juga bertujuan untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan pengisian e-Filing yang betul, memahami pelaksanaan e-Invois, serta mengenal pasti pelepasan dan rebat cukai yang boleh dimanfaatkan oleh pembayar cukai individu. Panel jemputan bagi program bual bicara ini ialah Dr. Huzaimi Mat Jusoh, Pensyarah Kanan Fakulti Perakaunan dan dikendalikan oleh Dr. Nik Zam Nik Wan, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Perakaunan selaku moderator. Program ini turut menyediakan platform interaktif bagi pembayar cukai untuk mendapatkan jawapan kepada persoalan mereka mengenai taksiran cukai 2025.





Sesi ini telah mendapat sambutan yang menggalakan dengan kehadiran hampir 2,800 peserta yang terdiri daripada warga UiTM dari seluruh kampus, alumni UiTM, serta masyarakat luar yang berminat untuk memahami lebih lanjut mengenai sistem percukaian di Malaysia. Diharapkan agar program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi meningkatkan kesedaran cukai dalam kalangan pembayar cukai individu.
Pautan rakaman siaran langsung: https://www.youtube.com/watch?v=Y-1ku5RlFY8
Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang