PTAR Undang-Undang (PTUU) Jayakan Program “Wadah Hikmah” Sepanjang Oktober 2024

PTAR Undang-Undang telah berjaya menganjurkan program bertemakan ilmu sepanjang bulan Oktober 2024 melalui inisiatif Program Budaya Ilmu yang bertajuk Program Wadah Hikmah. Program ini adalah salah satu usaha PTAR Undang-Undang untuk menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan pelajar, staf, dan komuniti akademik dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat.

Sepanjang program berlangsung, PTAR Undang-Undang telah melaksanakan beberapa aktiviti berfokus yang memberikan pendedahan mendalam tentang ilmu undang-undang, kenegaraan khusus kepada UiTM dihatiku, dan advokasi kepenggunaan. Antara program utama adalah Pameran Manuskrip Undang-Undang : mahalnya catatan sejarah, yang menampilkan koleksi manuskrip undang-undang lama seperti Hikayat Hang Tuah, Undang-Undang Laut dan Hukum Kanun Melaka. Dengan adanya pameran ini ia memberi peluang kepada pelajar khususnya untuk mengenali dokumen perundangan lama, memahami evolusi dan sejarah perundangan.

Selain itu, PTAR Undang-Undang turut bekerjasama dengan Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia melalui sesi Perkongsian Ilmu Bersama En. Abdul Rahman bin Muhammad Shariff, Penolong Pengarah di Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu. Sesi ini memberi ruang kepada peserta untuk mendalami kaedah pemuliharaan manuskrip serta kepentingan menyimpan khazanah undang-undang Melayu lama.

Program ini turut dimeriahkan dengan sesi Perkongsian Ilmu Kenegaraan dengan topik yang lebih khusus iaitu UiTM dihatiku oleh Dr. Edzza Rafiedziawati, Koordinator Kenegaraan, Institut Kepimpinan Pelajar UiTM. Ceramah ini memberi peluang kepada peserta untuk lebih mengenali serta menanamkan rasa hormat dan sayang terhadap institusi keramat UiTM.

Satu lagi inisiatif yang mendapat sambutan adalah sesi Perkongsian ilmu Advokasi Kepenggunaan : Pengguna Bijak Berani bertindak oleh Puan Mastini Awang Besar, Ketua Seksyen Tribunal Tuntutan Pengguna Cawangan Selangor. Dalam sesi ini, peserta diberi penerangan tentang hak-hak kepenggunaan, tanggungjawab pengguna, serta kesedaran terhadap hak undang-undang yang melindungi pengguna di negara ini.

Dengan terlaksananya Program Wadah Hikmah ini, maka tercapailah objektif dan hasrat perpustakaan di dalam penyediaan platform yang memupuk budaya ilmu yang progresif. Program ini juga membuktikan bahawa budaya ilmu dapat disemai melalui pelbagai medium yang kreatif dan bermakna.

Hanani Rojikin PUU Shah Alam

Leave a Reply