Produk inovatif SSD pencetus LOI antara UiTM dan Kolej Komuniti Segamat 2

SEGAMAT, 6 November 2023 – Kerjasama antara dua institusi pendidikan tinggi dalam penghasilan produk inovatif Smart Discussion Device (SSD) telah mendorong termeterainya Surat Niat (Letter of Intent-LOI) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Johor kampus Segamat dan Kolej Komuniti Segamat 2.  

Majlis menandatangani Surat Niat yang diadakan di Batu Anam, Segamat, Johor telah disempurnakan oleh Rektor UiTM cawangan Johor YBhg. Profesor Madya Dr. Saunah binti Zainon dan Pengarah Kolej Komuniti Segamat 2 YBrs. Puan Nor Dalila binti Abd Rahman dengan disaksikan oleh Ketua Timbalan Pustakawan dan Menjalankan Tugas Ketua Pustakawan YBrs. Tuan Ts Haji Azizi bin Haji Jantan  dan Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Segamat 2 YBrs. Encik Rasyidi bin Abdullah. 

Menerusi ucapan oleh YBhg. Profesor Madya Dr. Saunah, beliau menyatakan UiTM cawangan Johor menyokong penuh kerjasama bersama agensi kerajaan mahupun industri bagi menghasilkan produk atau projek yang berimpak tinggi yang bermanfaat buat warga UiTM dan masyarakat sekitarnya. Ini kerana sokongan terhadap aktiviti sebegini akan meransang perkongsian pengetahuan yang dimiliki disamping membantu dalam penyelesaian masalah secara pintar.   

SSD merupakan peranti digital interaktif yang menyokong pembelajaran secara kolaboratif telah dihasilkan oleh Perpustakaan Tun Dr. Ismail (PTDI), UiTM cawangan Johor kampus Segamat dan Pusat Sumber Kolej Komuniti Segamat 2 sehingga melayakkan kumpulan inovatif & kreatif (KIK) AKAR meraih anugerah Emas di pertandingan akhir Konvensyen KIK peringkat UiTM kali ke-27 yang berlangsung pada 23 hingga 25 Oktober 2023 di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam. 

PTAR Shah Alam

Leave a Reply