Jelajah Biodiversiti Pahang 2026 singgah di daerah Bentong pada 21 April 2026 dengan pelaksanaan aktiviti yang menghimpunkan penyertaan aktif daripada pelbagai latar belakang peserta.
Seramai 42 orang telah mengambil bahagian, melibatkan pelajar Kolej Vokasional Tengku Ampuan Afzan, 6 orang staf MARA Knowledge Center, guru-guru serta staf perpustakaan. Program hari ini turut menerima kehadiran Dr. Riwan Ramli, Ketua Sekretariat (Interim) Majlis Biodiversiti Pahang, yang bersama-sama mengikuti perjalanan program di lokasi.
Aktiviti dimulakan di Bilik Gerakan Pejabat Tanah Bentong sebelum diteruskan ke Bukit DO bagi sesi pemerhatian biodiversiti di lapangan. Laluan ke kawasan tersebut turut memberi pengalaman mendaki ringan kepada para peserta, menjadikan aktiviti hari ini lebih santai dan menyegarkan dalam suasana alam semula jadi.
Sepanjang aktiviti berlangsung, peserta berpeluang meneroka kawasan sekitar sambil mengenal pasti pelbagai spesies yang ditemui. Penglibatan ini disokong dengan sesi demonstrasi yang membantu peserta memahami kaedah merekod serta memuat naik data pemerhatian dengan lebih jelas dan praktikal.









Disediakan oleh : Puan Noor Azliza Binti Aziz, Pembantu Pustakawan Kanan