8 Jun 2026 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Alam Bina telah menerima kunjungan seramai 78 orang murid dari Sekolah Islam Swasta Hati Murni, Seksyen 7, Shah Alam bersama guru-guru pengiring dalam satu lawatan pendidikan bersempena Program Ocean Awareness anjuran Program Pengurusan Taman dan Ameniti, Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Sepanjang lawatan, murid-murid yang berusia antara 7 hingga 12 tahun dibawa melawat sekitar PTAR Alam Bina dan diperkenalkan kepada pelbagai ruang serta kemudahan yang disediakan untuk menyokong aktiviti pembelajaran dan pencarian maklumat. Mereka berpeluang melihat ruang bacaan, ruang pembelajaran, koleksi bahan perpustakaan dan kemudahan teknologi yang terdapat di perpustakaan.
Bagi menambah keseronokan sesi lawatan, pustakawan turut mengadakan sesi pengenalan koleksi perpustakaan dengan mempamerkan pelbagai jenis buku yang terdapat di PTAR Alam Bina. Murid-murid berpeluang melihat buku-buku yang mempunyai pelbagai tajuk, pelbagai cerita dan pelbagai saiz yang menarik perhatian mereka.
Lawatan berlangsung dalam suasana ceria dan interaktif dengan murid-murid aktif bertanya soalan serta berkongsi pengalaman mereka tentang membaca dan buku kegemaran masing-masing. Pengalaman ini bukan sahaja memberi pendedahan kepada dunia perpustakaan akademik, malah turut menggalakkan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan generasi muda.
Diharapkan lawatan seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memperkukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti serta menyemai kecintaan terhadap ilmu pengetahuan dalam kalangan kanak-kanak.


