Lawatan Kerjasama Antarabangsa : Perkongsian Intelektual dan Khidmat Komuniti di Sekolah Sangkhom Islami Wittaya dan Prince of Songkhla University (PSU), Thailand

THAILAND, 7- 8 Mei 2026 – PTAR UiTM Cawangan Melaka yang diwakili oleh Cik Hazlin Ibrahim Khan, Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP) bersama Puan Sariah Che’ Man, Pembantu Pustakawan Tertinggi, telah melaksanakan inisiatif Reading Corner di Sekolah Sangkhom Islami Wittaya, Songkhla, Thailand, sempena program Lawatan Kerjasama Antarabangsa : Perkongsian Intelektual dan Khidmat Komuniti. Program ini memberi fokus kepada pengukuhan perkongsian ilmu, jaringan kerjasama antarabangsa, dan pelaksanaan khidmat komuniti berimpak tinggi.

Dalam program tersebut, PTAR turut menyerahkan bahan bacaan hasil sumbangan pelbagai pihak kepada wakil Sekolah Sangkhom Islami Wittaya bagi menyokong pembangunan sudut bacaan di sekolah. Inisiatif ini bertujuan memperkukuhkan budaya membaca serta meningkatkan tahap literasi maklumat dalam kalangan komuniti setempat melalui penyediaan ruang bacaan yang kondusif dan akses kepada bahan ilmu yang relevan. Selain itu, program ini mencerminkan komitmen berterusan PTAR dalam memperluaskan agenda pengantarabangsaan universiti melalui kolaborasi strategik dan pemerkasaan budaya ilmu merentasi sempadan.

Pelaksanaan program ini merupakan hasil kolaborasi strategik antara PTAR UiTM Cawangan Melaka dan rakan institusi Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Melaka serta Youth Empowerment Society Club (YES) UiTM Cawangan Melaka.

Seterusnya, pada 8 Mei 2026 satu lawatan rasmi di Faculty of Liberal Arts, Prince of Songkhla University (PSU), Thailand telah membuka ruang kepada pengalaman baru buat semua delegasi.

Dalam lawatan tersebut, Dr. Panida Sukseemuang, Dekan Fakulti, telah menyampaikan ucapan aluan bagi meraikan delegasi dari UiTM Cawangan Melaka. Turut hadir bersama dalam sambutan ini ialah :

• Mrs. Chutima Swangvaree, Associate Dean for International Relations, Communication and Academic Services

• Asst. Prof. Dr. Pimpawan Chaipanit, Assistant Dean for Information and Communication

• Dr. Patson Jaihow, head of department of Foreign Languages

• Wakil pelajar daripada Persatuan Pelajar Fakulti Seni Liberal dan pelajar jurusan Bahasa Inggeris.

Kedua-dua pihak telah mengadakan sesi pertukaran ilmu mengenai pengurusan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris serta peluang dalam bidang penyelidikan. Selain itu, perbincangan turut menyentuh mengenai hala tuju kerjasama akademik antara kedua-dua institusi pada masa hadapan. Delegasi dari UiTM Cawangan Melaka juga berkesempatan melawat Pusat Pembelajaran Kendiri (Self-Access Learning Centre, Faculty of Liberal Arts) untuk meninjau penyediaan ruang dan sumber yang menyokong pembelajaran kendiri bagi para pelajar.

Diharapkan inisiatif ini dapat terus diperkasakan sebagai platform kolaborasi strategik yang mampan dalam memperluaskan budaya ilmu, menyokong agenda pengantarabangsaan UiTM, serta melahirkan masyarakat yang berpengetahuan, berdaya saing, dan membudayakan amalan membaca secara berterusan.

Sekitar program sedang dijalankan

Ditulis oleh : Hazlin Ibrahim Khan, Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP), PTAR UiTM Cawangan Melaka

Avatar photo
Hazlin Ibrahim Khan PTAR Alor Gajah Melaka

Leave a Reply