Sungai Petani, 18 Januari 2026 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah berjaya menganjurkan Program Jelajah Ilmu @ PSB bersama pelajar dan staf UiTM bertempat di Lobi Perpustakaan Sultan Badlishah. Program yang berlangsung dari jam 9.30 pagi hingga 4.00 petang ini merupakan satu inisiatif pembudayaan ilmu yang bertujuan mendekatkan perkhidmatan perpustakaan kepada warga kampus. Penganjuran program ini memberi tumpuan kepada pemerkasaan literasi maklumat, pendigitalan sumber, serta sokongan terhadap pembelajaran dan penyelidikan universiti selaras dengan peranan perpustakaan sebagai rakan strategik akademik.




Antara aktiviti – aktiviti semasa program Jelajah Ilmu@PSB 2026
Pelaksanaan program ini dirangka sebagai platform pendedahan dan hebahan ilmu yang komprehensif berkaitan perkhidmatan perpustakaan. Antara pengisian utama termasuk sesi penerangan perkhidmatan yang tersedia di perpustakaan, pameran poster perkhidmatan dan kemudahan, reruai arkib universiti serta bahan rujukan terpilih yang dipamerkan bagi tujuan mempromosikan koleksi bahan bacaan yang menarik dan seterusnya dapat meningkatkan pinjaman bahan bacaan.. Pengisian ini memberi penekanan kepada penggunaan sumber digital dan perkhidmatan berteraskan teknologi seperti sistem Online Finding Archive (OFA), pengaksesan sumber rujukan universiti melalui sistem PERMATA, pengurusan koleksi MyReading di PERMATA melalui MyAccount, serta perkhidmatan konsultasi penyelidikan dan sistem eKKM bagi tempahan kelas literasi maklumat.




Antara aktiviti – aktiviti semasa program Jelajah Ilmu@PSB 2026
Selain itu, penganjuran cabaran kuiz interaktif berkaitan perkhidmatan perpustakaan yang ditawarkan telah berjaya menarik minat pelajar dan staf untuk terlibat secara aktif. Sambutan yang menggalakkan ini membuktikan keberkesanan pendekatan interaktif dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman pengguna terhadap peranan perpustakaan. Secara keseluruhannya, kejayaan Program Jelajah Ilmu @ PSB ini mencerminkan komitmen berterusan Perpustakaan Sultan Badlishah dalam memperkasa budaya ilmu di peringkat universiti, di samping menyokong aspirasi UiTM untuk melahirkan warga akademik yang berpengetahuan, celik maklumat dan berdaya saing.
Penulis: Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi