Sungai Petani, 10 Mac 2026 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) UiTM Cawangan Kedah telah berjaya menganjurkan program bual bicara agama, Live@PTAR PSB: Tarbiah Ramadan, yang memfokuskan kepada persediaan rohani mendepani bulan mulia.

Program bertajuk “Antara Ramadan dan Syawal: Dimana Fokus Kita” itu menampilkan Ustaz Mohd Muhaizam bin Md Ishak, Pensyarah daripada Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) sebagai panel jemputan. Sesi yang berlangsung selama satu jam bermula jam 2.30 petang dikendalikan oleh moderator, Cik Nurul Izyan binti Shamsul Zamdi, yang merupakan pelajar latihan industri Fakulti Sains Maklumat (IM260).
Penganjuran program secara live ini adalah sebagai salah satu platform perkongsian ilmu bersama warga kampus serta memperkasakan penyebaran dakwah Islamiah. Selain itu, ia juga berfungsi sebagai medium bimbingan dalam membentuk keperibadian Islam yang sempurna dalam kalangan warga universiti dan masyarakat sekitar.




Ustaz Mohd Muhaizam dalam kupasannya menekankan bahawa fokus seorang Muslim tidak seharusnya terhenti selepas Ramadan berakhir, sebaliknya kualiti ibadah perlu diterjemahkan secara konsisten sehingga ke bulan Syawal. Beliau turut berkongsi tips praktikal bagi memastikan momentum ketakwaan yang dibina sepanjang bulan puasa tidak luntur begitu sahaja.
Dilaksanakan secara hibrid, program ini mencatatkan kehadiran yang memberangsangkan dengan penyertaan seramai 430 orang peserta. Sambutan hangat ini membuktikan keberkesanan PSB dan UHEI dalam menggerakkan aktiviti keagamaan yang inklusif. Melalui inisiatif sebegini, UiTM Cawangan Kedah terus komited dalam menyuburkan budaya ilmu dan memperkukuh syiar Islam di peringkat institusi pengajian tinggi.
Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan