16 April 2026: Bengkel Latihan Sistem PERMATA dan Cadangan Pembelian Buku telah dianjurkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar pada 5 Mac 2026 (Khamis) bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari melalui platform Google Meet. Program ini disasarkan kepada pensyarah UiTM Cawangan Perak sebagai usaha memperkenalkan perkhidmatan serta sistem perpustakaan yang terkini di samping meningkatkan tahap kesedaran terhadap kemudahan sumber maklumat akademik yang disediakan oleh pihak perpustakaan.
Bengkel ini bertujuan memperkenalkan Sistem PERMATA sebagai sistem baharu PTAR, di samping menggalakkan penggunaan pelbagai sumber maklumat seperti jurnal, e-buku, pangkalan data dan repositori institusi. Selain itu, peserta turut diberi latihan berkaitan kaedah penggunaan sistem perpustakaan secara efisien termasuk pencarian bahan, pinjaman digital serta perkhidmatan sokongan lain. Bengkel ini juga memberi pendedahan kepada staf akademik mengenai kaedah mencadangkan pembelian buku secara sistematik seterusnya menyokong pembangunan koleksi perpustakaan yang relevan dengan keperluan pengajaran dan penyelidikan.
Program ini telah dikendalikan oleh tiga orang pustakawan berpengalaman iaitu Puan Nur Aqilah binti Russli (Pustakawan Kanan), Puan Nur Dayana binti Mohd Narwawi (Pustakawan) dan Encik Aizu Hakimi bin Mohd Adnan (Pustakawan). Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berlangsung dengan lancar dan berjaya mencapai objektif yang ditetapkan. Pihak perpustakaan berharap agar inisiatif latihan seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan bagi memperkasa literasi maklumat dalam kalangan staf akademik serta meningkatkan keberkesanan penggunaan sistem dan perkhidmatan perpustakaan.






Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar