15 Disember 2025: Unit Arkib Cawangan Perak (UAC) telah menjalankan sesi Penerimaan Rekod Penting Universiti yang melibatkan Unit Komunikasi Korporat, UiTM Kampus Seri Iskandar pada 8 September 2025. Rekod-rekod yang diserahkan terdiri daripada koleksi piala kemenangan dan sijil penghargaan yang telah diraih oleh UiTM Cawangan Perak. Pencapaian ini, yang meliputi penyertaan cemerlang dalam pelbagai kejohanan sukan, akademik dan kokurikulum, bukan sahaja mengharumkan nama kampus tetapi turut menjadi bukti jelas kecemerlangan dan semangat kesatuan warga universiti. Piala kemenangan dan sijil penghargaan ini dikategorikan sebagai rekod bernilai arkib yang penting, berfungsi sebagai rujukan bersejarah dan kenangan berharga untuk warga kampus, pentadbiran serta penyelidik di masa hadapan.
Proses penyerahan rekod penting ini dilaksanakan selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam Dasar Pengurusan Rekod UiTM yang telah mula berkuat kuasa sejak 18 November 2020. Dasar institusi ini menetapkan prinsip dan teras pengurusan rekod yang wajib dipatuhi dan dilaksanakan oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) di UiTM. Oleh itu, Dasar Pengurusan Rekod UiTM terpakai sepenuhnya bagi semua PTJ termasuk Unit Komunikasi Korporat yang bertanggungjawab memastikan rekod bernilai arkib diserahkan kepada UAC. Pematuhan ini memastikan rekod universiti diuruskan secara sistematik dan mematuhi piawaian yang ditetapkan.
Penerimaan rekod penting di UiTM merujuk kepada proses penyerahan dan penerimaan dokumen atau bahan yang diiktiraf mempunyai nilai arkib yang signifikan kepada sejarah universiti.



Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar