Lawatan Kerja Rasmi Ketua Pustakawan PUiTM ke Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT

Tarikh: 17 Disember 2025, Rabu
Masa: 8.30 pagi – 3.00 petang
Tempat: Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT

Pada 17 Disember 2025 (Rabu), Perpustakaan Cendekiawan, UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun telah menerima Lawatan Kerja Rasmi Yang Berusaha Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan Perpustakaan UiTM. Ketibaan beliau disambut oleh Yang Berusaha Dr. Ermeey Abd. Kadir, Rektor UiTM Cawangan Terengganu bersama barisan pegawai dan warga perpustakaan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT).

Lawatan dimulakan dengan sesi temu mesra bersama pihak pengurusan kampus sebelum Ketua Pustakawan menghadiri sesi Taklimat Pengurusan Perpustakaan UiTMCT yang disampaikan oleh En. Shahrol Nizam Johol, Timbalan Ketua Pustakawan. Taklimat merangkumi aspek struktur organisasi, perkhidmatan yang ditawarkan, koleksi semasa serta pencapaian terkini perpustakaan.

Ketua Pustakawan seterusnya menyampaikan amanat yang menekankan peranan perpustakaan sebagai pusat pembangunan intelektual, pemangkin penyelidikan dan pemudah cara pembelajaran sepanjang hayat. Beliau turut menyeru warga perpustakaan agar terus meningkatkan profesionalisme, memanfaatkan teknologi dan bersedia menghadapi perubahan selaras dengan agenda pendigitalan pendidikan tinggi. Beliau juga menyentuh konsep ‘humanizing library’ yang memberi kesan yang baik dalam pengurusan dan perkhidmatan perpustakaan terutamanya dalam menawarkan perkhidmatan selari dengan perubahan teknologi maklumat masa kini tanpa mengabaikan peranan dan nilai kemanusiaan.

Lawatan turut merangkumi sesi penilaian fasiliti, ramah mesra bersama staf perpustakaan serta interaksi bersama pengguna. Secara keseluruhannya, lawatan ini berjalan lancar dan memberi impak positif ke arah penambahbaikan berterusan Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun.

Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Yang Berusaha Ketua Pustakawan Perpustakaan UiTM atas kesudian meluangkan masa mengadakan Lawatan Kerja Rasmi ke kampus kami ini. Semoga Perpustakaan UiTM terus maju di bawah pimpinan beliau.

Sumber Gambar: Lensa UiTM Terengganu

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply