Tahniah Kumpulan Ilham Untuk Penyertaan Dan Pencapaian Dalam Explore Research, Innovation & Commercialisation (X-Ric) 360: Think Unlimited

Merbok, 28 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah telah menyertai program Explore Research, Innovation & Commercialisation (X-RIC) 360: Think Unlimited yang berlangsung di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah. Program ini dianjurkan oleh Unit Pengurusan Penyelidikan (PJI&A) dan menjadi platform penting menghimpunkan penyelidik, ahli industri, serta komuniti akademik bagi meneroka potensi dalam bidang penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan.

Dalam acara ini, PSB telah diwakili oleh Kumpulan Ilham, yang mengambil bahagian melalui penyertaan poster inovasi dalam sesi pertandingan. Kumpulan ini menonjolkan idea kreatif yang berasaskan inovasi perkhidmatan perpustakaan, sekaligus menzahirkan komitmen warga PSB terhadap pembudayaan inovasi dan penyelidikan di UiTM. Penglibatan ini juga menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman, selain memperkukuh imej perpustakaan sebagai peneraju sokongan akademik dan penyelidikan yang dinamik serta berdaya saing dalam ekosistem universiti.

Kumpulan Ilham telah berjaya mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima dua pengiktirafan utama iaitu Anugerah Achievement dan Anugerah Silver bagi kategori poster inovasi. Kejayaan ini membuktikan kesungguhan dan keupayaan PSB dalam melahirkan idea bernilai tambah yang menyokong agenda inovasi UiTM.

Secara keseluruhannya, penyertaan ini bukan sahaja memperkukuh peranan PSB dalam bidang penyelidikan dan inovasi, tetapi turut menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam melahirkan staf yang kreatif, inovatif dan berimpak tinggi, seiring dengan semangat “Think Unlimited” yang menjadi teras penganjuran X-RIC 360.

Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply