Merbok, 24 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) UiTM Cawangan Kedah dengan kerjasama Kelab Bachelor of Library Science (BLiBS) telah menganjurkan Program Pembudayaan Ilmu: Jelajah Ilmu pada 23 hingga 24 Oktober 2025 bertempat di Lobi Perpustakaan Sultan Badlishah. Program ini merupakan inisiatif untuk memberi peluang kepada warga kampus memperoleh ilmu dalam suasana yang santai, interaktif dan menyeronokkan. Pendekatan ini mencerminkan usaha PSB dalam menyemai budaya ilmu yang inklusif dan berterusan, seiring dengan peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran yang menyokong komuniti akademik.




Objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan perkhidmatan perpustakaan digital, serta tunjuk ajar penggunaan sistem dan kemudahan baharu yang disediakan oleh perpustakaan. Selain itu, program ini turut menggalakkan warga UiTM untuk memanfaatkan sepenuhnya sumber rujukan perpustakaan, sama ada dalam bentuk fizikal mahupun elektronik. Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti informatif dan interaktif dijalankan oleh staf PSB bersama pelajar latihan industri bagi menarik penyertaan dan meningkatkan kefahaman peserta terhadap perkhidmatan yang ditawarkan.




Program yang disertai oleh 309 orang peserta ini telah berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dengan sambutan yang amat menggalakkan daripada warga UiTM Cawangan Kedah. Kejayaan pelaksanaan Jelajah Ilmu ini membuktikan keberkesanan kolaborasi strategik antara PSB dan BLiBS dalam memupuk minat warga kampus terhadap budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat. Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja memperkukuh imej PSB sebagai institusi ilmu yang progresif, malah menjadi wadah penting dalam memperkasakan komuniti akademik ke arah kecemerlangan intelektual dan inovatif.
Penulis: Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi