Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 9/2025 Anjuran Perpustakaan Sultan Badlishah

Merbok, 22 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 9 bertempat di Sudut IT, PSB. Program yang berlangsung dari 3.30 petang hingga 4.30 petang ini bertujuan memupuk budaya perkongsian ilmu dalam kalangan staf perpustakaan, di samping mengukuhkan profesionalisme dan kepakaran teknikal. Inisiatif ini juga selaras dengan usaha PSB untuk menjadikan perkongsian ilmu sebagai budaya organisasi yang dinamik dan kolaboratif, sekali gus meningkatkan kompetensi serta keyakinan staf dalam bidang perpustakaan dan maklumat.

Sesi Siri ke-9 ini menampilkan dua perkongsian bermanfaat daripada staf perpustakaan. Encik Mat Asri Baharom membentangkan topik “Keyboard Shortcuts” yang memberi penekanan kepada kemahiran menggunakan pintasan papan kekunci bagi meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerja harian. Melalui perkongsian ini, peserta didedahkan kepada pelbagai kombinasi kekunci yang dapat menjimatkan masa serta mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan tetikus.

Perkongsian dari Encik Mat Asri Baharom, Pembantu Pustakawan Kanan.

Seterusnya, Encik Faizul Zaman Sebudin berkongsi topik “Keselamatan di Tempat Kerja: Elektrik”, yang memberi tumpuan kepada kepentingan kesedaran keselamatan ketika menggunakan peralatan elektrik di tempat kerja. Beliau turut menerangkan langkah-langkah pencegahan kemalangan serta tanda-tanda bahaya elektrik yang perlu diambil perhatian.

Perkongsian dari Encik Faizul Zaman Sebudin, Pembantu Pustakawan Kanan.

Program yang dihadiri oleh 16 orang peserta ini berjaya memberikan impak positif dalam meningkatkan kecekapan kerja dan kesedaran keselamatan dalam kalangan staf. Kedua-dua perkongsian tersebut bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan praktikal, malah memperkukuh budaya kerja yang cekap, selamat, dan berdaya saing di PSB. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkasa budaya perkongsian ilmu serta menyemai nilai profesionalisme dalam kalangan warga perpustakaan.

Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply