Merbok, 5 November 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah berjaya menganjurkan Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 10, bertempat di Sudut IT, PSB. Program yang berlangsung dari jam 3.30 hingga 4.30 petang ini diadakan sebagai salah satu inisiatif PSB untuk memupuk budaya perkongsian ilmu dalam kalangan warga perpustakaan. Objektif utama program ini adalah untuk menggalakkan staf berkongsi pengetahuan dan kepakaran masing-masing, memperkukuh profesionalisme, serta menjadikan amalan perkongsian ilmu sebagai budaya organisasi di PSB.
Siri ke-10 ini menampilkan dua sesi perkongsian menarik oleh staf perpustakaan. Puan Norismaliza Che Oon berkongsi topik bertajuk “Leisure Reading @ Permata”, yang memberi pendedahan tentang koleksi bahan bacaan santai dalam bentuk eBook melalui sistem Permata. Beliau turut menunjukkan kaedah mencari dan meminjam bahan eBook dengan mudah, merangkumi pelbagai kategori seperti novel, biografi, motivasi, kesihatan, dan gaya hidup.




Perkongsian dari Puan Norismaliza Che Oon, Pembantu Pustakawan Kanan.
Seterusnya, Encik Rosdi Hamad Rodzi membentangkan topik “Online Finding Archive (OFA)”, yang memperkenalkan sistem arkib digital dibangunkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) bagi memudahkan akses kepada bahan arkib universiti secara dalam talian.




Perkongsian dari Encik Rosdi Hamad Rodzi, Pembantu Pustakawan Kanan.
Program yang dihadiri oleh 14 orang peserta ini berjaya memberikan impak positif dalam memperkukuh kefahaman mengenai kemudahan digital perpustakaan. Melalui perkongsian ilmu ini, peserta bukan sahaja memperoleh kemahiran baharu dalam pencarian bahan eBook dan penggunaan sistem OFA, tetapi juga menyedari kepentingan teknologi dalam penyebaran ilmu dan dokumentasi sejarah universiti. Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam memupuk budaya perkongsian ilmu dan meningkatkan literasi maklumat dalam kalangan staf perpustakaan.
Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan