Merbok, 30 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah, telah menerima kunjungan akademik daripada dua orang wakil pelajar pascasiswazah Jabatan Manajemen, Fakultas Ekonomi dan Bisnis, Universitas Brawijaya, Indonesia. Delegasi yang terdiri daripada Noorsy Zidna Nabiela S.M., M.M. dan Yosabah Zahro S.M. telah disambut mesra oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan PSB. Lawatan ini bertujuan meninjau perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan UiTM Kedah serta menjadi platform perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik antara institusi pendidikan tinggi serantau.

Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk memahami dengan lebih mendalam fungsi perpustakaan universiti dalam menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, khususnya melalui penyediaan koleksi fizikal dan digital, ruang pembelajaran moden, serta perkhidmatan berinovatif. Selain itu, pertemuan ini turut membincangkan aspek pengurusan koleksi, pendigitalan sumber maklumat, serta strategi promosi perkhidmatan perpustakaan. Lawatan ini turut membuka peluang untuk membina jaringan kerjasama akademik antara PSB dan Universitas Brawijaya dalam bidang pengurusan perpustakaan dan pembangunan sumber ilmu.







Secara keseluruhannya, lawatan ini memberi manfaat besar kepada wakil pelajar Universitas Brawijaya dalam memahami peranan perpustakaan moden sebagai pusat ilmu dan inovasi. Sesi penerangan dan lawatan tapak yang dikendalikan oleh PSB memberikan gambaran menyeluruh mengenai pendekatan UiTM Kedah dalam memperkasa perkhidmatan perpustakaan digital dan fizikal. PSB berharap lawatan ini menjadi permulaan kepada kolaborasi strategik dan pertukaran akademik antara kedua-dua institusi, sekali gus memperkukuh hubungan serantau dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan