5 November 2025: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan Program Jelajah Ilmu pada 15 Ogos 2025 bertempat di Ruang Legar Pentadbiran . Program ini merupakan salah satu inisiatif strategik PTAR dalam memperluas jangkauan perkhidmatan perpustakaan serta meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kemudahan dan sumber ilmu yang ditawarkan. Melalui penganjuran ini, PTAR berusaha mendekatkan fungsi perpustakaan kepada komuniti kampus dengan pendekatan yang lebih interaktif dan inklusif.
Objektif utama program ini adalah memperkenalkan Sistem PERMATA PTAR kepada staf pentadbiran di samping mempromosikan koleksi bacaan santai yang sesuai bagi keperluan dan minat warga kerja. Selain pameran bahan bacaan, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan seperti kuiz interaktif Kahoot! dan sesi pinjaman buku dengan ganjaran saguhati kepada peserta yang aktif. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan suasana pembelajaran lebih menyeronokkan, tetapi turut memupuk amalan membaca sebagai budaya kerja intelektual dalam kalangan staf.
Secara keseluruhannya, Program Jelajah Ilmu telah mencapai matlamatnya dalam menggalakkan perkongsian ilmu dan meningkatkan keterlibatan staf terhadap perkhidmatan perpustakaan. Penglibatan aktif warga UiTM Cawangan Perak dalam program ini mencerminkan komitmen bersama untuk membina komuniti kampus yang berpengetahuan, progresif dan penerapan budaya berilmu. PTAR berharap program seumpama in dapat diteruskan secara berterusan sebagai usaha menyokong aspirasi UiTM dalam memperkukuh rantaian ilmu dan pembelajaran sepanjang hayat.







Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar