31 Oktober 2025: Warga Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak telah menyertai Program Gotong-Royong “Gempur Ceria Kampus” yang telah diadakan pada 7 Ogos 2025 bertempat disekitar UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar. Program ini bermula pada jam 8.00 pagi melibatkan penyertaan aktif dari pelbagai jabatan serta unit di seluruh kampus. Penglibatan staf PTAR dalam program ini mencerminkan komitmen tinggi terhadap tanggungjawab sosial dan cakna kepada persekitaran hijau.
Pelaksanaan program ini bertujuan untuk memperkukuh budaya kerja berpasukan serta memupuk rasa tanggungjawab dalam kalangan warga universiti terhadap kebersihan dan keceriaan kawasan kampus. Aktiviti gotong -royong ini turut memberi ruang kepada staf untuk berganding bahu dalam melaksanakan tugasan pembersihan, penyusunan semula fasiliti dan pemeliharaan landskap sekitar perpustakaan serta ruang awam universiti. Inisiatif sebegini secara tidak langsung menyokong agenda UiTM dalam mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif , selamat dan mesra pengguna.
Secara keseluruhannya, Program Gotong-Royong “Gempur Ceria Kampus” telah berjaya mencapai objektif dalam memperindahkan suasana persekitaran kampus dengan melibatkan penyertaan yang menyeluruh dan bersemangat dalam kalangan warga kampus.








Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar