LATIHAN SANGKUT UNIT ARKIB CAWANGAN PERAK

11 November 2025: Pada 10 dan 11 Julai 2025, Unit Arkib Cawangan Perak (UAC) telah melaksanakan program Latihan Sangkut Unit Arkib Cawangan Perak yang bertempat di Bilik IT 2, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar. Program latihan ini berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 4.30 petang bertujuan memberi taklimat, pendedahan serta latihan praktikal berkaitan proses dan operasi pengurusan arkib kepada staf PTAR UiTM Kampus Tapah. Pelaksanaan program ini merupakan langkah awal dalam usaha mempersiapkan Kampus Tapah bagi penyediaan kemudahan Bilik Arkib UiTM Kampus Tapah secara teratur dan mematuhi piawaian pengurusan rekod universiti.

Kandungan latihan ini merangkumi beberapa komponen utama seperti Pengenalan Pengurusan Rekod, Proses Pelupusan Rekod, Proses Pelantikan Pengurus Rekod serta Latihan Praktikal berasaskan sistem Archive Management System (AMS). Selain itu, peserta turut diberi penerangan berkaitan tatacara pelupusan rekod mengikut prosedur yang ditetapkan oleh Arkib Negara Malaysia. Program ini dilaksanakan dengan objektif utama untuk meningkatkan kefahaman dan kemahiran peserta dalam menguruskan rekod serta dokumen rasmi universiti secara sistematik selain memupuk etika kerja yang berteraskan ketepatan, kebertanggungjawaban dan integriti dalam pengendalian bahan arkib.

Latihan ini dikendalikan oleh wakil UAC Perak iaitu Puan Nur Aqilah binti Russli, Pustakawan Kanan dan dibantu oleh dua Pembantu Pustakawan Kanan, Puan Wan Fadillah binti Mohamed Yusoff dan Puan Noor Faridatul Akhma binti Abu Bakar. Diharapkan penganjuran Latihan Sangkut ini dapat memperkukuh kefahaman peserta terhadap proses kerja Unit Arkib serta menjadi panduan dalam penubuhan dan pengurusan bilik arkib di PTAR Kampus Tapah.

Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar

Ahmad Azmil Reza PTAR Seri Iskandar

Leave a Reply