7 Oktober 2025: Program Hari Bertemu Pelanggan dan Sehari Bersama Kaunselor telah dilaksanakan pada 20 Jun 2025 bertempat di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Program ini merupakan inisiatif strategik yang digerakkan bagi memperkukuh jaringan hubungan antara warga kampus dengan pihak pengurusan serta mempertingkat kefahaman terhadap peranan Unit Kaunseling dan Kerjaya dalam menyokong kesejahteraan komuniti universiti. Penganjuran ini juga selaras dengan aspirasi universiti untuk memperluas budaya penyampaian perkhidmatan yang cekap, berhemah dan berfokus kepada pelanggan.
Sepanjang program berlangsung, para pelajar dan staf diberi ruang untuk berinteraksi secara langsung dengan pegawai perkhidmatan serta kaunselor universiti bagi mendapatkan maklumat dan khidmat nasihat berkaitan kesejahteraan diri, akademik dan kerjaya. Aktiviti yang dijalankan turut memberi peluang kepada peserta untuk menyalurkan pandangan serta cadangan penambahbaikan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kampus. Melalui pendekatan ini, nilai empati, komunikasi berkesan serta budaya mesra pelanggan dapat diperkukuh dalam kalangan warga universiti.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif penganjuran dengan menggalakkan penglibatan aktif komuniti kampus dalam memperkasa kesejahteraan psikososial dan profesionalisme diri. Penghargaan setulusnya dirakamkan kepada semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program ini. Diharapkan penganjuran seumpama ini dapat diteruskan sebagai agenda tahunan bagi memperkukuh hubungan strategik antara warga kampus dan seterusnya membudayakan perkhidmatan yang cemerlang serta berimpak tinggi.




Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar