14 Oktober 2025: Sesi Libat Urus Pengurusan Rekod bersama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) telah dilaksanakan pada 25 Julai 2025 bertempat di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Perak, Kampus Seri Iskandar. Program ini dianjurkan oleh Unit Arkib Cawangan (UAC) Perpustakaan tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar sebagai pelaksanaan kepada inisiatif Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025 di bawah Petunjuk Prestasi (PI) 2: Bilangan Libat Urus Pengurusan Rekod dan Arkib Bersama Pusat Tanggungjawab (PTJ). Program ini bertujuan menggalakkan keterlibatan aktif PTJ dalam memahami keperluan serta prosedur pengurusan rekod secara sistematik dan bersepadu di peringkat universiti.
Objektif utama sesi libat urus ini adalah untuk memastikan semua PTJ di UiTM Cawangan Perak memahami peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam melaksanakan amalan pengurusan rekod yang teratur, selamat dan berintegriti. Melalui sesi ini, pihak Unit Arkib Cawangan memberikan pencerahan tentang kepentingan pengurusan rekod yang mematuhi dasar serta garis panduan Arkib Negara Malaysia selain berfungsi sebagai platform perkongsian maklumat berkaitan cabaran, isu semasa, dan penyelesaian terbaik dalam konteks pengurusan rekod organisasi. Inisiatif ini juga memperkukuh hubungan kerjasama anatar UAC dengan bahagian serta unit lain bagi memastikan keberkesanan sistem penyimpan dan pemeliharaan rekod universiti.
Sesi lawatan turut diadakan ke bilik rekod Bahagian Hal Ehwal Pelajar bagi menilai pelaksanaan pengurusan dan penyimpanan rekod fizikal yang sedang dilaksanakan . Sepanjang sesi, peserta diberi penerangan berhubung proses pengendalian rekod aktif dan tidak aktif, kaedah pengelasan, sistem pemfailan, serta langkah keselamatan bagi memastikan rekod kekal terpelihara dan mudah diakses apabila diperlukan. Program ini dikendalikan oleh wakit Unit Arkib Cawangan PTAR iaitu Puan Nur Aqilah binti Russli, Pustakawan Kanan dan Puan Wan Fadilah binti Mohamed Yusoff yang turut berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan rekod selaras dengan piawaian profesional serta objektif strategik UiTM ke arah tadbir urus maklumat yang cemerlang dan berintegriti.






Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar