MAJLIS PENYERAHAN MEMORANDUM PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA UiTM DAN UMK PERKUKUH PERKONGSIAN SUMBER PERPUSTAKAAN NASIONAL

Shah Alam, 24 Oktober 2024 – Satu majlis penyerahan Memorandum Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) telah berlangsung dengan jayanya di Ruang Legar, Aras 7, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.

Majlis bersejarah ini menandakan kerjasama rasmi antara Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM dan Pejabat Perpustakaan dan Pengurusan Ilmu (PPI), UMK dalam pelaksanaan Perkongsian Sumber Perpustakaan inisiatif strategik yang bakal memperkukuh jaringan ilmu dan akses sumber akademik antara kedua-dua universiti.

Lebih istimewa, MoU ini merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia yang menggariskan pelaksanaan menyeluruh bagi perkongsian sumber perpustakaan antara dua institusi pengajian tinggi awam. Ia melibatkan kerjasama dalam pelbagai aspek termasuk bahan bercetak, sumber digital, kemudahan fizikal, serta latihan profesional pustakawan.

MoU ini ditandatangani oleh YBhg. Professor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib@Sahibuddin, Naib Canselor UiTM dan YBhg. Dato’ Prof. Ir. Ts. Dr. Arham bin Abdullah, Naib Canselor UMK, dengan disaksikan oleh YBrs. Prof. Dr. Huzili bin Hussin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMK serta YBrs. Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, Ketua Pustakawan UiTM. Turut hadir ialah barisan pengarah bahagian, warga Jabatan Perpustakaan UiTM, serta delegasi dari Universiti Malaysia Kelantan.

Menurut Ketua Pustakawan UiTM, YBrs. Ts. Haji Azizi bin Haji Jantan, kerjasama ini merupakan langkah strategik yang mengangkat peranan perpustakaan sebagai pusat pembelajaran dinamik dalam ekosistem pendidikan tinggi negara.

“MoU ini membuka lembaran baharu dalam perkongsian ilmu antara dua universiti awam. Ia bukan sahaja memperluas capaian sumber maklumat bercetak dan digital, tetapi turut menggalakkan pertukaran kepakaran, latihan profesional, serta pembangunan bakat pustakawan dalam era digital,” ujar beliau.

Melalui MoU ini, kedua-dua institusi bersetuju melaksanakan pelbagai bentuk kolaborasi strategik merangkumi:

  1. Peminjaman dan pemulangan bahan bercetak berstatus Rak Terbuka (Open Shelf);
  2. Akses bersama kepada sumber digital, pangkalan data akademik dan bahan elektronik yang dibenarkan;
  3. Penggunaan kemudahan fizikal dan ruang pembelajaran di kedua-dua institusi;
  4. Pertukaran kepakaran pustakawan, latihan profesional, bengkel serta program pembangunan ilmu bersama.

Perjanjian ini turut melibatkan keseluruhan rangkaian perpustakaan di bawah PTAR UiTM termasuk perpustakaan fakulti, satelit dan kampus cawangan yang akan berkolaborasi dengan rangkaian PPI UMK.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi UiTM dan UMK dalam memperkukuh budaya ilmu, memperluas capaian rujukan akademik, serta membina ekosistem pembelajaran digital yang inklusif, berimpak tinggi dan sejajar dengan agenda pendigitalan pendidikan negara.

Mohd Alfarabie PTAR Shah Alam

Leave a Reply