Pelantar Akses Terbuka Sebagai Medium Alternatif, Bantu Pelajar Kolej KETENGAH Cari Maklumat

Tarikh: 8 Oktober 2025, Rabu
Masa: 2.30 petang – 4.30 petang
Tempat: Auditorium Kolej KETENGAH
Anjuran: Perpustakaan Cendekiawan UiTM Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun
Dengan kerjasama: Perpustakaan Kolej KETENGAH
Penceramah: Cik Asmahani Abdullah, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP).
Penglibatan: 375 orang pelajar Kolej KETENGAH

Pada 8 Oktober 2025 (Rabu) yang lalu, Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Dungun telah mengadakan Bengkel Pencarian Maklumat Menggunakan Pangkalan Data Akses Terbuka bersama pelajar Kolej KETENGAH sebagai salah satu inisiatif untuk meningkatkan kemahiran literasi maklumat dan penyelidikan dalam kalangan pelajar sebagai alternatif pencarian maklumat di samping menggunakan pangkalan data langganan kolej mereka.

Bengkel ini merupakan jalinan kerjasama strategik antara Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT dan Perpustakaan Kolej KETENGAH diadakan bertempat di Auditorium Kolej KETENGAH bermula jam 2.30 petang hingga 4.30 petang dan telah disertai seramai 375 orang pelajar. Pengisian telah disampaikan oleh Cik Asmahani binti Abdullah,Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP), dan turut dibantu oleh Puan Hafsah Mustafa, Puan Nur Rohaya Razali, dan En. Ahmad Fathi Azhari Azmi.

Pengisian bengkel ini memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kaedah pencarian maklumat secara efektif melalui pelbagai pangkalan data akses terbuka yang tersedia dalam talian, sebagai alternatif penggunaan pangkalan data langganan kolej mereka, seperti UiTM Institutional Repository, U-Pustaka, Science Direct Open Access, Taylor & Francis, OA.mg, Open Access Journal Indexed in Scopus, Google Scholar, DOAJ (Directory of Open Access Journals) dan ERIC, serta teknik-teknik pencarian berkesan. Juga diterangkan senarai kemudahan dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh Perpustakaan UiTM kepada komuniti setempat.

Bengkel ini dijalankan secara interaktif dan merangkumi perkongsian ilmu, kemahiran, serta praktikal, melibatkan beberapa perincian berikut:-

  • Pengenalan kepada Literasi Maklumat: Memahami apa itu literasi maklumat dan kepentingannya dalam pembelajaran.
  • Pengenalan kepada Pangkalan Data Akses Terbuka: Penerangan tentang pelbagai platform akses terbuka serta bagaimana ia boleh dimanfaatkan.
  • Teknik Pencarian Maklumat: Demonstrasi penggunaan kata kunci, penapisan hasil carian, dan penggunaan operator Boolean.
  • Sesi Soal Jawab: Memberi ruang kepada pelajar bertanya soalan dan berkongsi pengalaman mereka sepanjang bengkel berlangsung.

Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjalan dengan lancar dan mencapai objektif yang ditetapkan. Para pelajar menunjukkan minat dan penglibatan aktif sepanjang sesi berlangsung. Berdasarkan maklum balas, majoriti peserta menyatakan bahawa mereka memperoleh pengetahuan dan kemahiran baharu dalam pencarian maklumat menggunakan pangkalan data yang sahih dan berkualiti.

Bergambar kenangan bersama peserta selepas program.

Semoga pengisian dan tips yang dikongsikan dalam bengkel ini dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kualiti maklumat dan rujukan yang digunakan dalam menyediakan tugasan akademik para peserta, seterusnya melahirkan komuniti akademik berpengetahuan dan berdaya saing.

Disediakan oleh: Abdul Hadi Idris, Pembantu Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply