Program Bicara Bahasa : Penggunaan Bahasa Melayu Di Media Sosial Oleh Generasi Muda & Majlis Penutup Karnival Semarak Bahasa : Menjulang Warisan Bangsa

Merbok, 12 Oktober 2025 – Dewan Perdana UiTM Cawangan Kedah telah menjadi lokasi berlangsungnya program dwi-fungsi yang berimpak tinggi iaitu Program Bicara Bahasa: Penggunaan Bahasa Melayu di Media Sosial oleh Generasi Muda dan Majlis Penutup Karnival Semarak Bahasa: Menjulang Warisan Bangsa. Program anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Kedah ini diadakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Utara serta Perpustakaan Sultan Badlishah. Bersempena Dekad Kebangsaan 2025 Peringkat Negeri Kedah, program ini berjaya menarik penyertaan seramai 811 orang yang terdiri daripada pelajar, staf, dan tetamu jemputan sebagai simbol komitmen dalam memartabatkan Bahasa Melayu sebagai warisan bangsa.

Sesi Bicara Bahasa yang bermula pada jam 2.30 petang menampilkan barisan panel berpengaruh dalam bidang bahasa dan komunikasi, termasuk YBhg. Prof. Dr. Haji Mohd Sazili Shahibi, Encik Ahmad Fedtri Yahya, dan Encik Mohamad Zaki Abdul Halim, dengan moderator Saudara Tengku Aniq Ismara bin Tengku Ezuan Ismara. Perbincangan ilmiah tersebut menekankan isu penggunaan Bahasa Melayu dalam media sosial serta langkah memperkukuh kesedaran generasi muda terhadap kepentingan mengekalkan kemurnian bahasa di alam digital. Para peserta turut berpeluang mendengar pandangan dan strategi daripada tokoh bahasa yang berpengalaman dalam usaha memperkasakan penggunaan Bahasa Melayu secara kreatif dan beradab di platform media moden.

Majlis diteruskan dengan acara perasmian penutup Karnival Semarak Bahasa yang dirasmikan oleh Prof. Dr. Haji Mohd Sazili bin Shahibi dan turut menampilkan ucapan daripada Profesor Dr. Roshima Haji Said, Rektor UiTM Cawangan Kedah serta Encik Sharrul Rizal Hashim, Pengarah DBP Wilayah Utara. Persembahan sajak, nyanyian, dan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan menyerikan lagi majlis. Program ini telah berjaya mencapai objektifnya dalam menyemarakkan semangat cintakan Bahasa Melayu dan memperkukuh jalinan strategik antara UiTM dan DBP. Kejayaan penganjuran ini diharap menjadi pemangkin kepada kesinambungan usaha memperkasakan warisan bahasa dalam kalangan generasi muda masa kini.

Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply