Reruai Koleksi Khas Jawi & Khazanah Melayu PTAR di AABM 2025

14 Oktober 2025 | 22 Rabiul Akhir 1447H, Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM telah menyertai pameran sempena Majlis Anugerah Akademik Bahasa Melayu (AABM 2025) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang berlangsung di Kementerian Pendidikan Tinggi, Putrajaya.

Penyertaan PTAR adalah atas jemputan rasmi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai pempamer Koleksi Khas Jawi dan Khazanah Melayu, yang mempersembahkan warisan persuratan Jawi, naskhah nadir dan sumber ilmu Melayu yang menjadi khazanah ilmiah universiti.

Reruai PTAR turut menerima kunjungan YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, yang telah diberi penerangan oleh Ts. Hj. Azizi Jantan, Ketua Pustakawan UiTM mengenai perjalanan usaha PTAR dalam pemeliharaan koleksi warisan, pembangunan akses ilmu serta inisiatif kurasi ilmu (curation of knowledge) yang digerakkan secara berstruktur.

Selari dengan peranan PTAR sebagai pusat pemeliharaan dan penyebaran ilmu warisan, dua inisiatif repositori ilmiah turut diperkenalkan dalam pameran ini:

📖 Repositori Persuratan Jawi
Menghimpunkan manuskrip Jawi, surat rasmi lama, karya ilmuwan dan dokumen persuratan bernilai sejarah.
https://mykm.uitm.edu.my/jawi

📚 Repositori Khazanah Melayu
Menawarkan akses kepada koleksi Melayu berautoriti termasuk manuskrip nadir, bahan sejarah, kesusasteraan dan pemikiran Melayu.
https://melayu.library.uitm.edu.my

Pembangunan kedua-dua repositori ini adalah usaha PTAR dalam memastikan warisan ilmu terus dipelihara secara profesional, direkod dan dimanfaatkan sebagai sumber rujukan untuk keilmuan semasa dan penyelidikan akademik.

PTAR kekal komited memperkasa peranan perpustakaan sebagai pusat rujukan intelektual negara melalui pemeliharaan warisan ilmu, kurasi koleksi ilmiah dan penyediaan akses ilmu berasaskan autoriti ilmiah.

Bacaan lanjut: https://www.facebook.com/share/p/1BMmGKdRNb/

Mohd Alfarabie PTAR Shah Alam

Leave a Reply