Program Kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) Bersama SMK Merbok: Bengkel Literasi Maklumat

Merbok, 1 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah berjaya melaksanakan Program Kerjasama Pembudayaan Ilmu: Literasi Maklumat bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok, Kedah. Program yang berlangsung di Makmal Komputer SMK Merbok dari jam 8.30 pagi hingga 10.30 pagi ini merupakan inisiatif di bawah Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025 yang menyokong KPI 5 (Program Budaya Ilmu) dan PI 8 (Program Kolaborasi Perpustakaan). Pelaksanaan program ini memberi impak positif dalam memperkasa kemahiran maklumat pelajar serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan literasi digital dalam pembelajaran masa kini.

Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan PSB, dengan bantuan Puan Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan PSB dan dua orang pelajar latihan industri. Seramai 67 pelajar tingkatan 2 SMK Merbok telah menyertai sesi interaktif ini yang memberi tumpuan kepada kaedah pencarian maklumat atas talian secara berkesan, penggunaan sumber ilmiah digital, serta kepentingan penilaian maklumat yang sahih. Peserta turut diperkenalkan dengan platform carian dan strategi mengenal pasti bahan rujukan akademik, yang dapat membantu mereka menjimatkan masa serta meningkatkan kualiti tugasan dan pembelajaran.

Secara keseluruhan, bengkel ini telah mencapai objektifnya dalam memperkukuh pengetahuan pelajar tentang literasi maklumat serta peranan perpustakaan sebagai pusat sumber ilmu yang menyokong proses pengajaran dan pembelajaran. Program ini bukan sahaja mempererat hubungan kolaboratif antara UiTM Cawangan Kedah dan SMK Merbok, malah menjadi bukti komitmen PSB dalam memperluas budaya ilmu kepada komuniti luar kampus. Diharapkan perkongsian ini dapat dimanfaatkan oleh semua peserta untuk meningkatkan kemahiran mencari, menilai dan menggunakan maklumat secara berkesan.

Penulis: Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply