Program Kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) Bersama SMK Merbok

Merbok, 1 Oktober 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB) telah menjalin kolaborasi bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbok melalui penganjuran satu program khas yang diadakan di sekolah tersebut bermula jam 8.00 pagi hingga 1.10 tengah hari. Program ini disertai oleh seramai 124 orang pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 dengan objektif memperkukuh kemahiran literasi maklumat dan membudayakan amalan membaca dalam kalangan pelajar. Majlis telah dirasmikan oleh Puan Atirah Ruslan, Timbalan Ketua Pustakawan (M) (KUP), sebagai tanda komitmen PSB terhadap pembangunan ilmu dan kesejahteraan pelajar.

Program ini menumpukan tiga objektif utama iaitu meningkatkan literasi maklumat, memperkenalkan teknik bacaan pantas (Speed Reading) serta pendedahan kepada konsep Biblioterapi. Melalui Literasi Maklumat, pelajar dilatih mengenal pasti, menilai dan menggunakan maklumat secara beretika dalam era digital. Seterusnya, bengkel Speed Reading membantu pelajar menguasai teknik bacaan efektif yang meningkatkan kecepatan dan kefahaman teks, manakala sesi Biblioterapi memberi ruang kepada pelajar untuk memahami nilai moral dan emosi melalui bahan bacaan yang dipilih secara khusus.

Secara keseluruhan, program ini telah berjaya mencapai objektifnya dengan pelaksanaan yang tersusun dan penglibatan pelajar yang aktif. Melalui aktiviti interaktif dan reflektif, pelajar bukan sahaja memperoleh kemahiran pembelajaran yang baharu tetapi turut memupuk minat membaca serta kepekaan terhadap kesejahteraan emosi. Program kerjasama ini menjadi bukti komitmen PSB dalam memperkukuh jaringan dengan institusi pendidikan tempatan dan menyokong usaha melahirkan generasi pelajar yang celik maklumat, berfikiran kritikal dan berdaya saing.

Penulis: Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply