Merbok, 14 Ogos 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu Siri 6 bertempat di Sudut IT. Program ini berlangsung dari jam 2.30 hingga 3.30 petang dengan kehadiran seramai 17 orang staf perpustakaan. Siri perkongsian ini merupakan kesinambungan usaha PSB dalam memupuk budaya ilmu melalui penyertaan staf yang berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing. Inisiatif ini secara langsung membantu mewujudkan suasana kerja kolaboratif dan dinamik di samping meningkatkan profesionalisme staf perpustakaan.
Penganjuran siri perkongsian ilmu ini membawa objektif yang jelas iaitu menggalakkan staf mengasah kemahiran penyampaian, meningkatkan keyakinan diri serta menjadikan budaya ilmu sebagai sebahagian daripada DNA organisasi. Program ini juga memberi peluang kepada warga perpustakaan untuk bertukar pandangan dan menimba pengalaman baharu yang bermanfaat dalam kerjaya. Dengan tema yang pelbagai, setiap sesi memberi nilai tambah dalam aspek motivasi, kemahiran teknikal, etika, dan pengurusan ilmu.
Bagi Siri ke-6 ini, dua staf perpustakaan telah berkongsi ilmu:



Perkongsian dari Encik Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi.
Sesi pertama menampilkan Encik Muhamad Azrul Ayob membentangkan topik bertajuk “Motivasi Kunci Pekerja Cemerlang” yang menekankan pentingnya dorongan dalaman dalam membezakan pekerja biasa dengan pekerja cemerlang. Beliau turut menekankan peranan pengiktirafan, ganjaran, persekitaran kerja positif dan matlamat yang jelas sebagai faktor utama membina motivasi.



Perkongsian dari Puan Mazuriah Ahmad, Pembantu Pustakawan Kanan.
Sementara itu untuk sesi kedua, Puan Mazuriah Ahmad berkongsi topik “Pengurusan Rujukan dan Etika Penulisan Ilmiah” dengan memberi pendedahan tentang rujukan, bibliografi, sitasi, serta isu plagiat. Beliau turut memperkenalkan perisian seperti Mendeley dan Turnitin yang membantu dalam pengurusan penulisan akademik.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberi pencerahan kepada para peserta dalam dua aspek penting iaitu membina semangat kerja yang tinggi serta mengamalkan etika penulisan yang betul. Perkongsian ini diharapkan dapat mendorong staf PSB untuk terus berusaha menjadi pekerja cemerlang, di samping melahirkan warga perpustakaan yang lebih berilmu, berintegriti, dan bersedia menghadapi cabaran dunia pekerjaan serta tuntutan akademik masa kini.
Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan