Merbok, 13 Ogos 2025 – Perpustakaan Sultan Badlishah (PSB), UiTM Cawangan Kedah telah menganjurkan Program 1 Staf 1 Perkongsian Ilmu: Siri 5 bertempat di Sudut IT, PSB. Program yang berlangsung dari jam 3.00 hingga 4.00 petang ini dihadiri oleh seramai 17 orang peserta terdiri daripada staf perpustakaan. Inisiatif ini merupakan usaha PSB untuk memupuk budaya perkongsian ilmu dalam kalangan staf sekaligus menggalakkan persekitaran kerja yang lebih kolaboratif dan dinamik.
Program ini bertujuan memberikan peluang kepada staf untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman masing-masing di samping mengasah kemahiran penyampaian serta kepakaran teknikal. Melalui penganjuran siri perkongsian ini juga, PSB berhasrat membentuk serta mengekalkan budaya perkongsian ilmu sebagai salah satu amalan utama organisasi. Ia turut membantu memperkukuh profesionalisme staf perpustakaan serta meningkatkan keyakinan diri dalam melaksanakan tanggungjawab harian.
Program Siri 5 ini melibatkan dua sesi perkongsian oleh dua orang staf perpustakaan:



Perkongsian dari Encik Omar Zainol, Pembantu Pustakawan Kanan.
Sesi pertama menampilkan Encik Omar Zainol membentangkan topik bertajuk “AI Dalam Pekerjaan: Kawan atau Lawan?” yang memberi tumpuan kepada peranan kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) dalam memudahkan tugasan, mempercepat keputusan serta meningkatkan inovasi. Beliau turut menekankan kepentingan menyeimbangkan penggunaan teknologi dengan etika dan nilai kemanusiaan agar tidak memberi kesan negatif kepada masyarakat dan alam pekerjaan.



Perkongsian dari Encik Muzammil Mohd Mustaffa, Pembantu Pustakawan Kanan.
Sesi kedua pula disampaikan oleh Encik Muzammil Mohd Mustaffa dengan tajuk “Proses Kerja Pembaharuan Perakuan BOMBA”. Beliau menjelaskan kepentingan sijil perakuan BOMBA bagi memastikan keselamatan nyawa dan harta benda melalui pepasangan keselamatan kebakaran (PKK) yang sentiasa berfungsi serta langkah pencegahan yang berkesan.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya memberi pendedahan yang bermanfaat kepada para peserta. Mereka bukan sahaja dapat memahami secara lebih mendalam tentang peranan AI dalam kehidupan seharian, malah turut memperoleh kefahaman jelas mengenai prosedur pembaharuan perakuan BOMBA yang wajib dipatuhi. Penganjuran siri perkongsian ilmu ini diharap dapat diteruskan dari semasa ke semasa sebagai wadah bagi memperkukuh budaya ilmu dalam kalangan warga perpustakaan, di samping melahirkan staf yang lebih berpengetahuan, profesional dan berdaya saing.
Penulis : Muzammil Mustafa, Pembantu Pustakawan Kanan