Lawatan Kerja Perpustakaan UiTM Ke Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (PPPYIK)

Kandis, Bachok, 22 September 2025 (29 Rabiul Awal 1447H) – Satu rombongan Perpustakaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang diketuai oleh Ketua Pustakawan, YBrs. Ts. Haji Azizi Hj. Jantan bersama Timbalan Ketua Pustakawan (M)(KUP) telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Pengajian Pondok Yayasan Islam Kelantan (PPPYIK), Kg. Telong, Kandis, Bachok, Kelantan, yang lebih dikenali sebagai Pondok Moden.

Ketibaan rombongan disambut mesra oleh Syeikh Pondok, Al-Fadhil Ustaz Mohamad Aziz Che Man. Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh jaringan ilmu dan kerjasama strategik, khususnya dalam usaha mempromosikan Portal Repositori Persuratan Jawi bagi mengembangkan koleksi serta memanfaatkan khazanah ilmu daripada kitab kuning pondok.

Dalam majlis tersebut, YBrs. Ts. Haji Azizi turut menyampaikan sumbangan mushaf Al-Quran untuk kegunaan para jemaah Masjid Al-Quddus, sebuah masjid ikonik yang menjadi tarikan pelancong di kawasan Kandis.

Selain itu, diskusi kolaborasi turut diadakan antara Perpustakaan UiTM dan pihak PPPYIK, termasuk cadangan membina portal rasmi pondok yang akan memuatkan manaqib (biografi) ulama tenaga pengajar, sejarah Masjid Al-Quddus, serta maklumat penting berkaitan institusi pondok.

Rombongan juga membincangkan perancangan kerjasama dalam bidang pemuliharaan dan pembaikan kitab lama, sebagai langkah memastikan legasi dan warisan keilmuan pondok terus terpelihara dalam era digital.

Sebagai melengkapi lawatan, rombongan turut berpeluang menziarahi Tuan Guru Syeikh Haji Wazir bin Che Awang, tokoh ulama tersohor yang baru-baru ini dianugerahkan Anugerah Tokoh Agamawan / Kepimpinan Dakwah Peringkat Kebangsaan 1447H / 2025M sempena Sambutan Maulidur Rasul SAW. Penganugerahan berprestij ini mengiktiraf sumbangan dan khidmat bakti beliau sebagai seorang ulama terkemuka serta pemimpin dakwah yang istiqamah membimbing umat.

Lawatan ini dilihat sebagai titik tolak penting dalam menghubungkan kepakaran universiti dengan tradisi ilmu pondok, sekali gus membuka ruang kepada kesinambungan dakwah, pendidikan dan pemeliharaan warisan persuratan Islam di tanah air.

Perpustakaan Tengku Anis UiTM Kelantan Kampus Machang

Leave a Reply