Pada 30 September 2025 saya berpeluang bersama warga perpustakaan dalam Program Kepimpinan Pelaksana Perpustakaan UiTM (PROKEP 2025) menerusi sesi Townhall bertemakan “Perpustakaan UiTM Menuju 2030.”
Sesi ini menjadi medan penting untuk kita melihat dengan jujur kekuatan yang menjadi teras kecemerlangan perpustakaan, di samping menginsafi kelemahan yang masih perlu diperbaiki. Saya tekankan bahawa naratif baharu Perpustakaan UiTM mesti berpaksikan kepada inovasi, digitalisasi, kelestarian ilmu, serta kepimpinan berdaya tahan. Inilah kunci bagi memastikan perpustakaan terus relevan, inklusif, dan berkesan dalam menyokong misi akademik universiti.
Bagi saya, kumpulan pelaksana adalah barisan hadapan yang menghubungkan visi kepimpinan dengan realiti di lapangan. Justeru, kompetensi, mentaliti, dan daya tahan kumpulan pelaksana perlu diperkukuh agar mereka mampu menjadi agen perubahan yang mendokong aspirasi UiTM sebagai Vibrant Centre of Learning dan universiti digital menjelang 2030.
Hasrat pengurusan UiTM, khususnya Perpustakaan, amat jelas:
– Perpustakaan sebagai nadi penjana ilmu – mampu bersaing di peringkat global.
– Warga perpustakaan berfikiran terbuka – berani mencuba dan menguasai kemahiran baharu.
– Budaya kerja berintegriti – menekankan ketelusan, akauntabiliti dan profesionalisme.
– Kelestarian ilmu & inovasi digital – sebagai teras ke arah perpustakaan masa depan.
– Saya percaya dengan semangat, komitmen, dan kesatuan hati, kita akan mampu melangkah jauh, membina perpustakaan yang unggul, dan merealisasikan visi UiTM 2030.
“Kecemerlangan organisasi bermula daripada kekuatan insan-insan di dalamnya. Mari kita bersama-sama memacu perpustakaan ke arah masa depan yang lebih gemilang.”