PROGRAM PEMBANGUNAN LITERASI MURID : BACAAN PANTAS SK ISKANDAR PERDANA

2 September 2025: Perpustakaan tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama SK Iskandar Perdana telah menganjurkan Bengkel Bacaan Pantas pada 12 Jun 2025 bertempat di SK Iskandar Perdana. Program ini melibatkan penyertaan seramai 50 orang murid Tahun 5 dan 6 yang bersemangat untuk meningkatkan kecekapan membaca secara pantas dan berkesan. Bengkel ini dirangka khusus bagi memperkukuh kemahiran membaca, menjimatkan masa serta mempertingkat daya tumpuan, ingatan dan kefahaman dalam kalangan murid sekolah rendah.

Bengkel ini telah dikendalikan oleh dua orang penceramah berpengalaman dari PTAR, UiTM Cawangan Perak iaitu Encik Akhimulah Bin Azmi, Pembantu Pustakawan dan Encik Mohd Azhari Bin Maarop, Pembantu Pustakawan Kanan dengan bantuan dua orang pelajar latihan industri dari UiTM Cawangan Kedah. Turut hadir memberi sokongan sepanjang program ialah Puan Nur Aqilah binti Russli dan Puan Nur Dayana binti Mohd Narwawi, yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran bengkel. Penyampaian hadiah disempurnakan oleh Encik Shahrul Radzi bin Azizan, Penolong Kanan Kokurikulum SK Iskandar Perdana.

Program ini turut menyaksikan Majlis Menandatangani Kerjasama dan Usahasama antara PTAR UiTM Cawangan Perak dan SK Iskandar Perdana sebagai langkah strategik memperkukuh jaringan literasi antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah. Syabas dan setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini. Semoga inisiatif ini terus menyemai minat membaca dalam kalangan generasi muda dan menjadi pemangkin kepada pembudayaan ilmu berterusan.

Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar

Ahmad Azmil Reza PTAR Seri Iskandar

Leave a Reply