
Penyertaan dalam Sesi Perbincangan Program Telaah Sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) Anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT)
Saya berkesempatan menghadiri sesi perbincangan awal berkaitan pelaksanaan Program Telaah sempena Festival Idea Putrajaya (Putrajaya FOI) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang dijadualkan berlangsung pada 8 November 2025.
Mesyuarat ini telah berlangsung pada 8 September 2025 (Isnin), bertempat di Bilik Mesyuarat Ibnu Bajah 1, Aras 2, KPT, Putrajaya, dan dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Norazli Md Daud, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Pendidikan Tinggi.
Sesi perbincangan memberi tumpuan kepada konsep, struktur, dan pengisian intelektual bagi Program Telaah, yang merupakan salah satu komponen utama Festival Idea Putrajaya 2025.
Turut hadir dalam sesi ini ialah: Puan Marhanum M. Hanif, Setiausaha Bahagian Biasiswa
Encik Fazli Said, Setiausaha Bahagian Khidmat Pengurusan
YBhg. Datin Nor Azzah Momin, Ketua Pustakawan USIM
Encik Hazmir Hj. Zainal, Ketua Pustakawan UKM
Program Telaah KPT merupakan sebuah wadah wacana ilmiah yang menghimpunkan tokoh akademik, pemikir, dan pelbagai pihak berkepentingan bagi membincangkan isu-isu strategik berkaitan pendidikan tinggi, masa depan ilmu serta peranan masyarakat dalam pembentukan naratif ilmu negara.
Menariknya, Program Telaah turut disokong melalui pembangunan Portal Telaah Universiti Awam yang dibangunkan oleh Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM. Portal ini merupakan sebuah platform digital yang berfungsi sebagai pusat rujukan, himpunan bahan bacaan serta dokumentasi perbincangan intelektual yang berlangsung sepanjang festival. Ia membolehkan akses terbuka kepada warga akademia, penyelidik, dan masyarakat umum untuk mendalami serta meneruskan kesinambungan wacana ilmu secara maya.

Layari Portal Telaah Universiti Awam di sini:
https://permata.uitm.edu.my/telaah/
Sebagai Ketua Pustakawan, saya menyambut baik dan menyokong penuh inisiatif ini yang selari dengan aspirasi perpustakaan dalam memperkasa budaya ilmu, menyuburkan pemikiran kritis serta memperluas keterlibatan masyarakat dalam ekosistem pengetahuan digital.
Sama-sama kita nantikan Festival Idea Putrajaya 2025 – medan ilmu, inovasi dan inspirasi yang menanti penyertaan semua.