
Alhamdulillah, hari ini saya berpeluang menghadiri Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, di MAEPS Serdang, Selangor.
Amanat Hari Kebangsaan bukan sekadar sebuah ucapan, tetapi ia adalah wadah untuk kita mengenang perjuangan silam, menyemai semangat patriotisme, serta memperkukuh azam demi masa depan negara yang lebih gemilang.
Dalam amanat tersebut, YAB Perdana Menteri menegaskan bahawa kemerdekaan yang kita kecapi hari ini bukan datang dengan mudah, tetapi dibayar dengan harga yang tinggi – nyawa, harta benda, keringat dan air mata.
Beliau turut mengingatkan:
“Jangan biarkan Malaysia berpecah kerana perbezaan kaum, wilayah atau fahaman sempit. Negara kita jauh lebih penting daripada segala sentimen kesukuan.”
“Malaysia ini unik – satu-satunya negara pelbagai kaum dan agama yang bertahan dengan keamanan, ekonomi, kekuatan dan semangat perpaduan.”
“Merdeka bermakna tekad membebaskan negara daripada segala bentuk kecurangan – rasuah, penyeludupan, kegiatan haram.”
“Malaysia ini bukan negara yang sempurna, tetapi kekuatan dan kehebatannya luar biasa.”
Amanat ini disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan, memberi peluang seluruh rakyat untuk bersama-sama menghayati mesejnya.
Ayuh, kita semarakkan sambutan ulang tahun kemerdekaan tanah air ke-68 ini dengan semangat MADANI dan jiwa yang benar-benar merdeka!