13 Ogos 2025: Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR), UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar telah menganjurkan Bengkel Latihan Sistem PERMATA, Laman Web Perpustakaan dan Cadangan Pembelian Buku pada 20 Mei 2025 bertempat di Bilik IT 2 , PTAR. Bengkel ini diadakan khusus untuk pensyarah lantikan baharu UiTM Cawangan Perak bagi memberi pendedahan awal berkenaan pelbagai kemudahan, perkhidmatan serta sistem digital yang ditawarkan oleh perpustakaan. Program ini berlangsung dari 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan mendapat sambutan positif daripada para peserta. Bengkel telah dikendalikan oleh tiga orang pustakawan berpengalaman iaitu Puan Nur Aqilah binti Russli, Pustakawan Kanan, Puan Nur Dayana Binti Mohd Narwawi, Pustakawan dan Encik Muhamad Azim Bin A’nsori, Pustakawan.
Objektif utama bengkel ini adalah untuk memperkenalkan sistem baharu perpustakaan iaitu Sistem PERMATA, selain memberi latihan kepada para peserta mengenai penggunaan sumber maklumat digital seperti jurnal, e-book dan repositori institusi. Di samping itu, bengkel ini turut menekankan panduan penggunaan PERMATA Search, pinjaman digital serta pendedahan kepada kaedah sistematik bagi mencadangkan pembelian buku yang relevan mengikut keperluan program akademik.
Secara keseluruhan, bengkel ini telah berjaya mencapai matlamat yang digariskan serta meningkatkan kefahaman peserta terhadap sistem perpustakaan yang tersedia. PTAR berharap bengkel seumpama ini dapat diteruskan secara berterusan sebagai inisiatif memperkasa literasi maklumat dalam kalangan warga akademik. Usaha ini dijangka dapat memperkukuh lagi penggunaan sumber perpustakaan secara efektif dalam menyokong aktivit pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan di UiTM Cawangan Perak.






Disediakan oleh Ahmad Azmil Reza Bin Ismail, Pembantu Pustakawan Kanan, PTAR UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar