Bengkel “Write Faster with Mendeley & Scopus AI” Perkukuh Literasi Maklumat WArga Fakulti Undang-Undang

Shah Alam, 14 Ogos 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Undang-Undang telah berjaya menganjurkan Bengkel Write Faster with Mendeley & Scopus AI bersama Fakulti Undang-Undang (FUU), UiTM yang berlangsung di Bilik Mesyuarat FUU. Program ini telah diadakan pada 14 Ogos 2025, bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang.

Bengkel telah dikendalikan oleh Puan Masnida Hanim Binti Che Mahmood, selaku Ketua Perpustakaan Undang-Undang yang juga bertindak sebagai penceramah utama. Penganjuran bengkel ini memberi fokus kepada peningkatan kemahiran literasi maklumat khususnya dalam kalangan warga akademik, selaras dengan keperluan era digital yang menuntut penguasaan teknologi pengurusan rujukan serta analitik penyelidikan terkini.

Seramai 25 orang peserta telah menghadiri bengkel ini, terdiri daripada pensyarah dan pelajar PhD Fakulti Undang-Undang. Kehadiran mereka memperlihatkan komitmen tinggi dalam usaha memperkasa budaya penulisan akademik serta memanfaatkan teknologi pintar untuk mempercepatkan proses penyelidikan dan penerbitan.
Turut hadir memberikan sokongan padu kepada program ini ialah barisan Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang:

  1. Prof. Madya Dr. Azhani Binti Arshad, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar)
  2. Prof. Madya Dr. Norazlina Binti Abdul Aziz, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri)
  3. Dr. Muhammad Umar Bin Abdul Razak, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik)

Selain bengkel, PTAR Undang-Undang turut membawa beberapa koleksi buku untuk pinjaman terus oleh para pensyarah dan pelajar. Inisiatif ini bukan sahaja memberi nilai tambah, malah memperkukuh peranan perpustakaan sebagai pusat sumber ilmu yang menyokong aktiviti pembelajaran, pengajaran dan penyelidikan fakulti.

Fakulti Undang-Undang menyatakan penghargaan dan rasa teruja dengan pelaksanaan bengkel ini yang disifatkan mampu memberi impak positif terhadap pembangunan ilmu dan penyelidikan. Pihak fakulti turut berharap kolaborasi seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi memperluas manfaat kepada komuniti akademik serta mempererat hubungan strategik antara FUU dan PTAR.

Masnida Hanim Che Mahmood PTAR Shah Alam

Leave a Reply