Pada 16 Julai 2025, Perpustakaan Tengku Anis dengan kerjasama Jabatan Seni Reka Tekstil, Fakulti Seni Lukis & Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan telah menerima kunjungan ilmiah daripada para tenaga pengajar dan pelajar dari Kolej Vokasional Tanah Merah. Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan berkaitan inovasi reka corak dan hiasan permukaan fabrik kepada para pelajar melalui sesi bimbingan dan perkongsian ilmu.
Program dimulakan pada sebelah pagi dengan sesi bimbingan teknik reka corak dan hiasan fabrik termasuk penerapan penggunaan warna di Bengkel Cetakan, Jabatan Seni Reka Tekstil. Para pelajar diberi peluang untuk mempelajari secara langsung proses dan teknik asas dalam menghasilkan corak tekstil.
Pada sebelah petang, program diteruskan dengan Sesi Perkongsian Ilmu Dalam Inovasi Reka Corak dan Hiasan Permukaan Fabrik yang telah disampaikan oleh pensyarah Jabatan Seni Reka Tekstil, Encik Raja Symsul Haq Raja Kamrin, bertempat di Bilik Seminar PTA. Sesi ini memberi penekanan kepada pendekatan inovatif dalam rekaan tekstil, termasuk teknik serta inspirasi dalam penghasilan corak yang berasaskan unsur semula jadi.



Selesai sesi perkongsian, para peserta dibawa melawat ke Pameran Seni Cetakan Tekstil bertajuk “Print with Nature” yang berlangsung di Aras 1, Perpustakaan Tengku Anis. Pameran ini memperlihatkan karya cetakan tekstil berasaskan elemen semula jadi seperti dedaun, bunga, ranting, dan tekstur organik yang lain. Ia merupakan suatu bentuk penerokaan seni yang menampilkan alam sebagai kolaborator dalam proses penciptaan, menjadikan karya-karya yang dihasilkan bukan sekadar visual semata-mata, tetapi juga sebagai naratif terhadap isu kelestarian dan hubungan manusia dengan alam.





Selain itu, para peserta turut diberi penerangan berkaitan teknik cetakan batik serta inovasi corak batik tangan hasil karya pensyarah dan pelajar Jabatan Seni Reka Tekstil. Karya-karya tersebut turut dipamerkan dan dibuka untuk jualan kepada pengunjung yang berminat.



Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya memperkaya pengetahuan dan pengalaman para pelajar serta membina jalinan kolaborasi yang bermanfaat antara institusi pengajian. Perpustakaan Tengku Anis merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.


Disediakan oleh: Sazlina Saleh, Pembantu Pustakawan PTA UiTMCK Kampus Machang