Merbok, 12 Jun 2025 – Program Speed Reading bersama pelajar SMK Che Tom, Sungai Petani merupakan inisiatif pembudayaan ilmu Perpustakaan Sultan Badlishah untuk memberikan pendedahan kepada peserta mengenai kewujudan teknik dan kaedah bacaan pantas yang boleh dipelajari melalui latihan bacaan pantas yang disediakan. Program ini merupakan satu usaha merealisasikan Perancangan Strategik Perpustakaan UiTM 2025 Key Performance Index (KPI) 5 – Bilangan Penyertaan Program Budaya Ilmu dan Performance Index (PI) 8 – Bilangan Penyertaan Komuniti Program Kolaborasi Perpustakaan dan juga Performance Index Universiti – Number of Reading and Literacy Initiatives Conducted / Coordinated / by PTAR UiTM.



Program ini dirangka dengan beberapa objektif khusus untuk meningkatkan kemahiran membaca para peserta secara menyeluruh. Matlamat utamanya adalah untuk memberi pendedahan tentang kaedah dan teknik bacaan pantas, bagi membolehkan peserta mengaplikasikannya semasa membaca. Seiring dengan itu, program ini bermatlamat untuk meningkatkan tahap pembacaan dan pemahaman secara serentak, memastikan kelajuan tidak menjejaskan kualiti penyerapan maklumat. Selain itu, peserta akan diberi pendedahan praktikal tentang cara mengira kadar bacaan mereka dalam unit patah perkataan per minit, yang akan diukur sebelum dan selepas sesi pembelajaran untuk menilai keberkesanan teknik yang diajar. Akhir sekali, program ini juga akan memberi pendedahan tentang punca dan faktor-faktor yang boleh melambatkan atau mempercepatkan bacaan seseorang, agar mereka dapat mengenal pasti halangan dan mengoptimumkan potensi membaca mereka.




Program ini telah dilaksanakan pada 12 Jun 2025 (Rabu) dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 pagi bertempat di SMK Che Tom, Sungai Petani. Program ini dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan serta dibantu oleh Encik Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi dan Encik Zakaria Muhamad, Pembantu Pustakawan Kanan. Seramai 53 orang pelajar telah menyertai program ini.
Secara keseluruhannya, Program Speed Reading yang telah dijalankan ini telah mencapai objektif utamanya iaitu meningkatkan kecekapan dan kelajuan membaca dalam kalangan pelajar sekolah. Melalui pelbagai aktiviti interaktif dan latihan praktikal yang dijalankan sepanjang program, para pelajar telah menunjukkan peningkatan dari segi kemahiran membaca, pemahaman teks, serta keyakinan diri semasa membaca. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program ini.
Penulis : Muhamad Azrul Ayob, Pembantu Pustakawan Tertinggi