Pertandingan MLBB UiTMCT Championship Gilap Bakat Baru e-Sukan IPT

Pertandingan Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) UiTMCT CHAMPIONSHIP 2025 yang berlangsung selama dua hari, bermula pada Jumaat, 4 Julai hingga Sabtu, 5 Julai 2025 telah mencuri tumpuan warga kampus apabila berjaya menghimpunkan seramai 190 orang peserta dari pelbagai fakulti.

Bertempat di Perpustakaan Cendekiawan, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu (UiTMCT) Kampus Dungun, kejohanan ini telah dianjurkan oleh Jawatankuasa Sukan Pelajar (JSP) dengan kerjasama Kelab E-Sport UiTMCT dan Perpustakaan Cendekiawan UiTMCT Kampus Dungun.

Acara yang bermula seawal jam 8.00 pagi hingga 7.00 petang ini turut mendapat sokongan penaja dan dirasmikan oleh pihak Hotlink, sekali gus menandakan komitmen pelbagai pihak dalam menyokong pembangunan e-sukan di peringkat IPT.

Objektif utama kejohanan ini adalah untuk memupuk semangat kesukanan, memperkukuh kerjasama berpasukan serta mencungkil bakat-bakat baharu dalam arena e-sukan, khususnya dalam permainan MLBB yang semakin popular dalam kalangan mahasiswa.

Kejohanan ini bukan sahaja memberi peluang kepada pelajar untuk bersaing secara sihat, malah turut menjadi platform bagi mempererat hubungan antara fakulti dan mempromosikan aktiviti sukan digital sebagai salah satu cabang pembangunan sahsiah pelajar. Dengan sambutan yang amat menggalakkan, pihak penganjur berharap agar MLBB UiTMCT CHAMPIONSHIP dapat dijadikan acara tahunan dan diteruskan dengan lebih banyak penglibatan serta penambahbaikan pada masa akan datang.

Disediakan oleh: Nik Ahmad Kamal Nik Wadi, Pembantu Pustakawan Kanan.

Perpustakaan Cendekiawan Kampus Dungun UiTM Cawangan Terengganu

Leave a Reply