UiTM Cawangan Pulau Pinang telah menganjurkan bengkel “Integrating Generative AI & Canva in Cooperative Problem-Based Learning (CPBL) Strategy for Academics” pada 14 dan 15 Julai 2025 bertempat di ruang LCE, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh. Program ini merupakan kerjasama strategik antara Jabatan Pengurusan Perniagaan dan Akademi Pengajian Bahasa UiTM Cawangan Pulau Pinang bersama Universiti Brunei Darussalam, dengan kerjasama Skolar Sdn Bhd, Universiti Sains Malaysia (USM), Politeknik Seberang Perai dan Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Pulau Pinang. Antara peserta yang hadir terdiri daripada pensyarah UiTM, USM dan Politeknik Seberang Perai.


Dua penceramah utama yang dijemput khas ialah Dr. Mohammad Tazli Azizan, pensyarah dari Universiti Brunei Darussalam dan Don Skolar, CEO Skolar Sdn. Bhd. Kedua-duanya juga merupakan Canva Verified Experts. Mereka membimbing peserta melalui sesi interaktif dan latihan praktikal yang memfokuskan kepada penggunaan Canva dan AI dalam merancang dan menyampaikan bahan pengajaran, pendekatan CPBL dalam meningkatkan keterlibatan pelajar dan peranan pensyarah sebagai responden dalam kajian penyelidikan rentas negara berkaitan pedagogi inovatif.
Menurut pihak penganjur, program ini merupakan yang pertama seumpamanya di UiTM Cawangan Pulau Pinang yang menggabungkan ketiga-tiga elemen iaitu Canva, AI dan CPBL dalam satu platform latihan menyeluruh. Ia bukan sahaja memberi pendedahan teknologi terkini dalam dunia pendidikan, malah membuka ruang kerjasama rentas institusi serta membina komuniti akademik yang progresif dan kreatif.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan