Pada 19 Mei 2025 yang lalu, PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang telah mengadakan satu lawatan akademik ke Penang Islamic Digital Library (PIDL) dan Penang Digital Library melibatkan seramai 25 orang ahli Kelab Briged Sukarelawan Perpustakaan dan 7 orang staf PTAR UiTM Cawangan Pulau Pinang. Lawatan kali ini telah diketuai oleh Ketua Perpustakaan Cawangan, Tuan Haji Ahmad Faizar bin Jaafar.

Di Penang Islamic Digital Library (PIDL), para peserta lawatan telah diperkenalkan berkenaan perpustakaan digital yang ditempatkan di Kolej Islam Teknologi Antarabangsa Pulau Pinang. Aturcara lawatan dimulakan dengan taklimat Pustakawan tentang sistem pengurusan, platform bacaan, fasiliti dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh PIDL. Kunjungan ini juga adalah salah satu usaha untuk menjalinkan kerjasama erat yang melibatkan perkongsian bahan rujukan secara atas talian, yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna PIDL.
Seterusnya, peserta melawat Penang Digital Library, sebuah perpustakaan moden tanpa koleksi buku bercetak, yang menyediakan akses kepada pelbagai bahan bacaan digital dan ruang pembelajaran kolaboratif. Para pelajar diberi peluang untuk meneroka kemudahan interaktif dan inovatif yang disediakan di perpustakaan ini.


Lawatan diakhiri dengan singgahan ke kedai buku terpakai di Pasar Chowrasta, di mana pelajar berpeluang mendapatkan buku pada harga mampu milik dan melihat sendiri kepelbagaian bahan bacaan lama yang masih relevan.
Antara objektif yang dapat digariskan daripada lawatan kali ini adalah memberi pendedahan kepada pelajar tentang konsep dan fungsi perpustakaan digital selain menggalakkan penggunaan sumber digital dalam proses pembelajaran dan penyelidikan. Selain itu, lawatan ini diharap dapat menanam minat membaca dan menghargai nilai ilmu dalam pelbagai bentuk, termasuk sumber tradisional seperti buku terpakai dan membuka minda pelajar kepada pendekatan moden dalam penyampaian ilmu melalui teknologi digital.
Disediakan oleh : Rafidah Muhamad Sam, Pembantu Pustakawan Kanan