20 Jun 2025 – Perpustakaan Tun Abdul Razak Undang-Undang (PTUU) yang diketuai Puan Masnida Hanim Che Mahmood telah mengadakan kunjungan hormat ke Fakulti Undang-Undang (FUU), Kompleks Cempaka, Universiti Teknologi MARA Shah Alam. Kunjungan ini turut diiringi oleh Puan Hanani Rojikin, Ketua PTAR Alam Bina, dan juga Encik Remie Salleh Udin, Pembantu Pustakawan Kanan PTUU.
Dekan FUU, Prof. Madya Dr. Nur Ezan Rahmat menyambut ketibaan kunjungan pada jam 9.30 pagi dan turut dihadiri oleh Dr. Muhammad Umar Abdul Razak, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Akademik), Prof. Madya Dr. Azhani Arshad, Timbalan Dekan (Hal Ehwal Pelajar), Dr. Faridah Hussain, Pensyarah Kanan, serta Pn. Hanim Azura Mahyudin, Timbalan Pendaftar FUU.

Kunjungan ini bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama dan kolaborasi antara PTUU dengan pihak FUU dalam aspek menyokong pengajaran dan pembelajaran fakulti di samping mempromosikan perkhidmatan digital terkini yang disediakan oleh perpustakaan kepada pengguna. Kunjungan mesra yang telah berlangsung selama sejam lebih ini juga telah membincangkan program serta aktiviti secara kolaboratif antara PTUU dan FUU.
Prof. Madya Dr. Nur Ezan Rahmat juga telah berkongsi sedikit sebanyak perancangan yang telah diatur oleh FUU, antaranya adalah Program Green Harvest@AGC anjuran bersama Jabatan Peguam Negara (AGC), dan Annual Philip C. Jessup International Law Moot Court Competition.
