Program Kerjasama Perpustakaan Sultan Badlishah Bersama Maktab Mahmud Merbok

Merbok, 15 Jun 2025 – Seramai 197 orang pelajar tingkatan satu hingga tiga Maktab Mahmud Merbok telah mendapat pendedahan menyeluruh mengenai kemahiran abad ke-21 melalui satu program kerjasama strategik bersama pihak perpustakaan yang berlangsung di dewan utama maktab itu pada Rabu lalu.

Program komprehensif yang dianjurkan dari jam 8:00 pagi hingga 1:00 tengah hari itu dirangka khusus untuk melahirkan generasi pelajar yang celik maklumat, cekap mengurus masa, dan bijak mengendalikan kesejahteraan emosi.

Inisiatif ini menggabungkan tiga slot utama yang penting untuk pembangunan holistik pelajar. Sesi pertama memberi tumpuan kepada Literasi Maklumat, di mana para pelajar didedahkan dengan kaedah sistematik untuk mencari, menilai, dan menggunakan maklumat secara efektif dan beretika daripada pelbagai sumber.

Slot kedua merupakan bengkel praktikal Membaca Pantas (Speed Reading) yang mendapat sambutan amat menggalakkan. Bengkel kali ini dibahagikan kepada dua kumpulan kerana bilangan peserta yang ramai. Melalui latihan ini, para pelajar dilatih untuk menguasai teknik membaca lebih banyak bahan dalam tempoh yang singkat tanpa mengorbankan tahap pemahaman.

Program diakhiri dengan sesi perkongsian santai mengenai Biblioterapi, yang memperkenalkan penggunaan bahan bacaan sebagai medium untuk refleksi diri, pembangunan sahsiah, dan pengurusan emosi. Keterlibatan aktif pelajar dalam setiap aktiviti, terutamanya semasa sesi soal jawab, jelas membuktikan minat mendalam mereka terhadap ilmu yang dikongsikan.

Penganjuran program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk bukan sahaja menyokong kecemerlangan akademik, tetapi juga memupuk budaya ilmu dan menjadikan perpustakaan sebagai pusat sumber yang relevan. Kejayaan kerjasama ini diharap dapat menjadi model bagi usaha mengeratkan lagi hubungan antara institusi pendidikan dan perpustakaan dalam agenda pembangunan pelajar masa hadapan.

Penulis : Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan

Hamidah Mohd Per. Sultan Badlishah Kedah

Leave a Reply