Merbok, 11 Jun – Seramai 67 orang pelajar Tingkatan 1, 2, dan 3 Maktab Mahmud Merbok hari ini mendapat pendedahan unik mengenai kaedah pengurusan emosi melalui pembacaan dalam Bengkel Biblioterapi. Program yang berlangsung selama dua jam itu merupakan inisiatif kerjasama strategik antara pihak pengurusan Maktab Mahmud Merbok dan Perpustakaan Sultan Badlishah.
Program ini dirangka khusus untuk memperkenalkan konsep Biblioterapi, iaitu satu cabang ilmu kemanusiaan yang menggunakan bahan sastera sebagai alat terapi untuk refleksi diri dan penyelesaian masalah peribadi.
Sesi perkongsian ilmu ini telah dikendalikan oleh barisan pustakawan berpengalaman dari Perpustakaan Sultan Badlishah, diketuai oleh Pustakawan Kanan, Encik Mohd Amiruddin Mohd Nasir serta dibantu oleh Pembantu Pustakawan Kanan, Puan Rozaini Yahaya dan Puan Hamidah Mohd.



Menurut Encik Mohd Amiruddin, objektif utama program adalah untuk mengubah persepsi pelajar terhadap aktiviti membaca dan fungsi perpustakaan.


Apa yang diinginkan adalah agar para pelajar melihat buku bukan sahaja sebagai sumber ilmu, tetapi juga sebagai ‘sahabat’ yang boleh membantu mereka memahami diri sendiri dan orang lain dengan lebih mendalam. Perpustakaan pula bukan sekadar tempat meminjam buku, tetapi sebuah pusat pembangunan komuniti dan kesejahteraan emosi.




Sepanjang sesi, para pelajar tidak hanya mendengar penerangan konsep, malah terlibat secara aktif dalam aktiviti perbincangan kumpulan. Menggunakan petikan cerpen sebagai bahan kajian, mereka dibimbing untuk menganalisis watak dan jalan cerita, seterusnya mengaitkannya dengan pengalaman hidup seharian.





Sambutan hangat yang diterima daripada para pelajar membuktikan program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk menterjemahkan teori Biblioterapi kepada satu pengalaman yang praktikal dan bermakna. Inisiatif ini diharap dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan generasi muda yang seimbang dari segi intelek dan emosi.
Penulis : Hamidah Mohd, Pembantu Pustakawan Kanan