Merbok, 22 Mei 2025 – Taklimat pelajar baharu Semester 1 merupakan inisiatif daripada pihak Perpustakaan Sultan Badlishah Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah dalam memberikan makluman dan pengetahuan baharu mengenai perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan kepada pelajar-pelajar yang baharu sahaja memulakan pengajian dalam pelbagai bidang kursus yang ditawarkan.
Objektif program ini adalah memberi pendedahan awal kepada para pelajar baharu berkenaan dengan perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan serta memberikan panduan tatacara penggunaan sistem baharu perpustakaan menggunakan PERMATA. Selain itu, ia dapat mengeratkan hubungan pihak perpustakaan dan pelajar baharu.





Sesi taklimat pelajar baharu Semester 1 telah diadakan dengan jayanya pada 22 Mei 2025 secara atas talian bermula jam 3.00 petang menggunakan aplikasi Google Meet. Sesi ini dikendalikan oleh Puan Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan Unit Perkhidmatan, Perpustakaan Sultan Badlishah, UiTM Cawangan Kedah. Seramai 282 orang pelajar baharu telah menghadiri sesi taklimat ini secara atas talian dan didedahkan dengan pengetahuan baharu mengenai perkhidmatan dan kemudahan perpustakaan.
Penganjuran sesi taklimat selama satu jam ini memberikan impak positif kepada pelajar dari segi ilmu pengetahuan baharu yang boleh dipraktikkan dalam pembelajaran dan membantu dalam pencarian maklumat serta panduan dalam melaksanakan tugasan dengan baik terutamanya dalam penggunaan dan pencarian maklumat yang tepat dan beretika.
Penulis : Wan Rohani Wan Chin, Pustakawan Kanan